Jumlah Perdagangan Malaysia-Uzbekistan Meningkat 33.6 Peratus Berbanding 2022

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Jumlah perdagangan Malaysia bersama Uzbekistan telah meningkat sebanyak 33.6 peratus iaitu kepada RM426.21 juta (USD94.03 juta) berbanding tahun 2022, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan Malaysia dan Uzbekistan serius untuk meningkatkan hubungan dua hala khususnya dalam bidang perdagangan serta pelaburan.

“Baru sahaja jumpa di Uzbekistan dua minggu lalu, kali ini kami berjumpa lagi di Malaysia. Saya telah bertemu dengan rakan sejawat saya Menteri Industri, Pelaburan dan Perdagangan Uzbekistan, TYT Laziz Kudratov.

“Jelas kedua-dua pihak serius untuk meningkatkan hubungan dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. Dari segi pelaburan dan perdagangan, Perdana Menteri telah mengumumkan potensi eksport sebanyak RM710 juta antara Malaysia dengan Uzbekistan. Tapi kita mahu pergi lebih jauh dari itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Malaysia berupaya untuk meningkatkan lagi perdagangan bersama Uzbekistan dengan memanfaatkan kekuatan negara dalam pelbagai sektor.

“Pada 2023, jumlah perdagangan dengan Uzbekistan telah meningkat sebanyak 33.6 peratus kepada RM426.21 juta (USD94.03 juta) berbanding tahun 2022. Jumlah eksport pula meningkat 35.1 peratus kepada RM424.30 juta (USD93.62 juta) berbanding RM314.08 juta (USD70.66 juta) pada 2022, disumbangkan oleh permintaan yang lebih tinggi dalam sektor pertanian berasaskan produk minyak sawit.

“Malaysia berupaya untuk meningkatkan perdagangan bersama Uzbekistan dengan memanfaatkan kekuatan kita dalam pelbagai sektor, seperti produk halal, makanan, bidang elektrik dan elektronik, pembinaan, bidang tenaga dan pendidikan.

“Saya yakin bahawa pertemuan seperti ini akan terus memperkukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan, dalam usaha untuk meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.