Hubungan Erat Malaysia-China Tidak Boleh Putus – Nur Jazlan

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Hubungan erat antara Malaysia dan China sejak sekian lama tidak boleh putus, mengambil kira sejarah mendalam kedua-dua negara dan jalinan kerjasama ekonomi yang kukuh sehingga ke hari ini, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata walaupun isu dunia sekarang yang mungkin memaksa negara-negara untuk memilih blok kuasa negara-negara besar, namun harus diingat Malaysia merupakan antara negara awal yang mengambil bahagian dalam pembangunan negara Tembok Besar itu.

“Dulu mereka (China) tak ada kontraktor mahir, namun dalam tempoh 30 tahun mereka boleh buat projek gergasi di Malaysia dan datang untuk membantu negara kita untuk ‘mencergaskan’ ekonomi kita,” katanya ketika berucap merasmikan seminar Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Bangunan Parlimen hari ini.

Seminar berkenaan menampilkan dua sarjana yang mendalami kajian berkaitan hubungan tamadun Melayu-China iaitu Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Melayu China di Beijing Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia Datuk Goh Hin San.

Seminar dianjur Kelab Senator Dewan Negara itu bertujuan mengetengahkan sejarah, perkembangan semasa dan harapan masa hadapan hubungan diplomatik kedua-dua buah negara dan dihadiri mahasiswa, penjawat awam dan ahli-ahli Dewan Negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.