Isham Jalil: Hidung Tak Mancung Pipi Tersorong-Sorong – Puad

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Isham Jalil dan mendakwa beliau sebagai ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau beranggapan bahawa Isham secara jelas salah faham mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh MKT UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Isham dakwa UMNO terdesak mahu tarik balik pemimpin yang dipecat. Dia salah faham kenyataan Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Maksud Jalaluddin ialah UMNO sedia menerima ahli dan pemimpin yang merayu untuk kembali sertai UMNO. Ku Li contoh terbaik.

“UMNO tidak akan memujuk dan bentang permaidani kepada mereka yang dipecat. Apatah lagi orang macam Isham Jalil dan lain-lain yang tidak reti hidup berjemaah,” katanya.

Menurutnya, UMNO tidak mahu tergesa-gesa untuk meluluskan rayuan mana-mana bekas pemimpin yang mahu menyertai semula parti maka UMNO tidak terdesak.

“Dalam MKT sering dibangkitkan beberapa nama yang memohon untuk menyertai semula UMNO. Isu mereka inilah yang dirujuk oleh Jalaluddin Alias.

“Ada di kalangan yang merayu ini mohon rayuan mereka diluluskan segera. Tetapi MKT tidak mahu tergesa gesa. Justeru tidak timbul UMNO terdesak.

“Isham yang syok sendiri. Nama dia memang tidak masuk buku. Buat apa pujuk orang yang tidak hormat konsensus parti. Contohnya Isham. Parti akan punah ranah,” katanya.

Terdahulu media melaporkan UMNO sedia pertimbang untuk menerima semula pemimpin dan ahlinya yang disingkirkan ketika melakukan proses pemutihan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata peluang kedua itu berikutan ada dikalangan mereka yang disingkirkan sebelum ini namun masih menunjukkan kesetiaan kepada parti dan berminat menyertai semula parti terbesar kaum Melayu.

Katanya, ada dikalangan mereka yang disingkirkan selepas proses pemutihan itu mahu menjadi ahli UMNO semula selepas melihat keadaan parti itu ketika ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.