Ada Parti Mahu Ganti UMNO? Mustahil… Asas Perjuangan, Khidmat Jasa Tidak Sama

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata adalah mustahil jika ada parti yang bercita-cita mahu mengganti dan mengambil alih peranan yang selama ini dibawa oleh UMNO.

Tegasnya, selama ini mereka yang meniru tidak mampu untuk menandingi jasa dan khidmat UMNO kepada rakyat sejak 78 tahun penubuhannya walaupun pernah diberi peluang mentadbir negara.


“Ada usaha nak melenyapkan UMNO dan menjadi pengganti kononnya sebagai parti dominan orang Melayu tetapi kalau kita lihat UMNO macam mana pun dah terbukti berkhidmat dan berjasa kepada orang Melayu.

“Malah dalam keadaan sekarang semua parti-parti politik dah merasa jadi pemerintah dan pembangkang tapi kita boleh lihat, sewaktu UMNO perintah di mana kelebihan orang Melayu?

“Masa mereka juga telah diberi peluang di manakah kelebihan untuk orang Melayu? Apakah naratif yang mereka bawa untuk memajukan orang Melayu? Jadi dari situ kita minta rakyat untuk menilai semula parti yang betul-betul memperjuangkan untuk agama dan bangsa,” ujar beliau kepada UMNO Online.


Tengku Azman dalam pada itu turut mengulas mengenai persepsi yang dimainkan pihak lawan mengenai hubungan UMNO bersama Dap.

Menurutnya, rakyat dan akar umbi parti perlu memahami bahawa UMNO tidak menjalinkan hubungan secara langsung dengan Dap sebaliknya bekerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan sebagaimana Titah Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya lagi, ia juga menunjukkan kematangan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan bagi menubuhkan kerajaan atas dasar tanggungjawab kepada rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu menyaksikan tiada gabungan yang memenangi majoriti mudah.

“Saya jelaskan kepada ahli-ahli berkenaan hubungan UMNO dengan Dap bahawa kita tidak ada hubungan langsung dengan Dap. Sebaliknya yang ada hubungan ini hanya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan.

“Jadi, UMNO tu sendiri tidak ada hubungan ‘direct’ dengan Dap cuma kita ada di konteks membentuk kerajaan.

“…kerana ini adalah perkara yang selalu dimainkan oleh pembangkang dan dia tahu ini adalah isu sensitif kepada ahli-ahli kita, ia dimainkan dan menyebabkan kemerosotan sokongan terhadap UMNO,” katanya.

Untuk rekod pada Disember 2022 lalu, empat gabungan politik iaitu Warisan, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN memeterai perjanjian bersama PH selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencadangkan agar PH dan Perikatan Nasional untuk membentuk Kerajaan Perpaduan namun ditolak oleh PN. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.