Dalam Usaha Perkukuh Parti… Jangan Tuding Jari, Uar-Uar Masalah Dalaman

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Dalam usaha untuk memperkukuhkan parti, ahli dan akar umbi disarankan untuk tidak menuding jari dan menguar-uarkan masalah dalaman sehingga diketahui oleh pihak musuh.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, musuh utama parti adalah Perikatan Nasional (PN), bukannya para pemimpin sendiri.

“Kita sebagai pemimpin tidak kiralah di peringkat cawangan mahupun bahagian tidak sepatutnya menuding kepada mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang kegagalan ketika menjalankan tugas selaku pendukung parti.

“Dalam kita mahu menguatkan parti, saya rasa adalah lebih baik untuk kita tidak menguar-uarkan isu dalaman kepada pihak luar sehingga diketahui oleh musuh. Apa yang penting, jangan serang kepimpinan parti sendiri.

“Perlu diingatkan bahawa musuh sebenar kita adalah PN bukannya para pemimpin UMNO. Sekiranya kita tidak berpuas hati dengan cara kerja sesiapa sekalipun, leave it to the party leaders,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, semua ahli dan akar umbi mempunyai saluran yang betul untuk menyampaikan ketidakpuasan hati ataupun memberi sumbang saran kepada para pemimpin parti.

“Semua ahli dan akar umbi sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyampaikan ketidakpuasan hati mahupun sumbang saran kepada para pemimpin. Jangan keluarkan kenyataan untuk mempopularkan diri sendiri.

“Sebagai orang kedua tertinggi di bahagian, beliau sendiri boleh memberikan pencerahan kepada masyarakat di luar sana kerana kita semua adalah agen pencerahan. Tidak perlu menunggu arahan daripada pihak atas.

“Sekiranya terdapat sebarang isu di peringkat negeri, mereka boleh rujuk dengan Penerangan UMNO Negeri. Takkan beliau tidak mempunyai akses kepada maklumat tersebut?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa ahli dan akar umbi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh melemahkan serta merosakkan imej parti.

“Kita tidak sepatutnya menunjukkan perkara yang tidak baik di dalam UMNO kerana ia akan mencemarkan imej parti. Jangan tunjukkan some sort of unhealthy dalam parti.

“Apa yang paling penting, jangan keluarkan kenyataan yang boleh melemahkan dan merosakkan imej parti. Segala masalah dalaman, sebaiknya diselesaikan secara dalaman tanpa melibatkan pihak luar daripada parti,” katanya lagi.

Pada Ahad, media melaporkan terdapat usul agar rombakan bagi jawatan Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang disandang oleh Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika ini dengan dakwaan tidak fokus dalam tugasan beliau. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.