Koperasi Dinasihat Jangan Amal Konsep Ali Baba – Saarani

IPOH, 19 Mei – Mana-mana koperasi yang menerima projek daripada kerajaan negeri diingatkan supaya tidak mengamalkan konsep Ali Baba atau menjual projek diperoleh kepada syarikat atau pihak lain.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata tindakan berkenaan bukan hanya merugikan, bahkan ia tidak memberi nilai tambah bagi kemajuan dan pembangunan koperasi tersebut.

Beliau berkata sekiranya ada pihak persendirian dan koperasi memohon projek, kerajaan negeri lebih cenderung untuk berikan kepada pihak koperasi kerana keuntungan itu boleh dikongsi atau berbalik kepada ahlinya.

“Sekiranya permohonan diluluskan, janganlah (amalkan) ‘Ali Baba’ pula kerana akhirnya koperasi hanya dapat ‘kuah’ sahaja, orang lain yang akan merasa untungnya,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-27 Koperasi Masjid Perak Berhad (KOMAS) di sini, hari ini.

Saarani berkata bagi memastikan amalan tersebut dihindari, pihaknya akan meneliti kelayakan setiap permohonan dan sekiranya ia menetapi kriteria, maka projek berkenaan berpotensi diluluskan kepada koperasi terbabit.

Saarani berkata, ketika ini kerajaan negeri dalam perancangan membangunkan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Projek Automotive High Tech Valley (AHTV), selain beliau yakin ia akan berjaya disebabkan mendapat sokongan dari Kerajaan Pusat.

“Jadi sebab itu saya nak koperasi bukan sahaja dapat melihat peluang-peluang daripada projek ini, malah perlu ada kekuatan, persiapan dan kepakaran,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, buat masa ini pihaknya mahu semua koperasi di negeri ini lebih memfokuskan kepada permohonon projek berimpak tinggi dan tidak hanya bergantung harap kepada perniagaan kecil-kecilan dalam menjana pendapatan.

Beliau berkata kebiasaannya koperasi akan berniaga kecil-kecilan seperti jual beli barang, hartanah, kredit dan sebagainya, namun mereka kurang ambil tahu hal yang lebih besar antaranya seperti permohonan pasir, tanah merah dan lain-lain. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.