Kepelbagaian Medium Amat Penting Tarik Sokongan Rakyat – Fadzli

JERANTUT, 19 Mei – Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata peranan ahli parti pelbagai peringkat amat penting dalam usaha memastikan parti bukan sahaja mendapat kepercayaan masyarakat malah memastikan parti bangkit daripada kekecewaan lalu.

Mengimbau bagaimana kemerosotan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini, beliau seterusnya menambah perkembangan itu menuntuk kesedaran serta keinsafan di dalam diri setiap ahli parti hari ini bahawa UMNO perlu bergerak ke depan dengan pelbagai medium.

“Saya merayu pada saudara-saudari semua. Jangan fikir peranan kita kecil… jangan fikir tanggungjawab kita sebagai ahli UMNO ini kecil… besar saudara-saudari. PRU lalu Kita gagal pertahankan Pahang dan kita tinggal satu peluang saja lagi iaitu PRU ke-16. Kalau kita gagal pada PRU16 ini di Jerantut dan di Pahang kita tak mampu bangkit lagi.

“Kalau nak bangkit kembali mungkin terpaksa ambil beberapa pilihan raya selepas itu. Jadi dalam masa yang berbaki mungkin dalam tiga tahun lagi masih ada masa ayuh kita bulatkan tekad dan itizam kita.

“Kita satu-satukan hati kita di dalam dewan ini dan kita ajak masyarakat di luar sana termasuklah anak muda memahami semangat dan keikhlasan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jelajah Penerangan UMNO Malaysia, UMNO bahagian Jerantut, di sini, semalam.

Turut serta Ketua UMNO Jerantut, Haris Salleh Hamzah, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan pimpinan yang lain.

Fadzli seterusnya berharap pelbagai medium digunakan dalam usaha memastikan UMNO terus mengorak langkah ke depan khususnya berdepan PRU akan datang.

“Pemikiran, pemahaman orang muda sebagai contoh cukup berbeza. Kalau kita masih tidak memahami corak dan masih gagal untuk percayalah kita akan sekali lagi berdepan suasana sukar kelak,” katanya. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.