Jangan Berlengah Lagi, Bersama Tangkis Persepsi Dan Propaganda Pihak Lawan

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Alamin berkata Program Jelajah Penerangan UMNO adalah satu usaha yang tepat untuk menjelaskan dan menangkis pelbagai persepsi dan propaganda yang dimainkan oleh parti lawan.

Mohamad yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri percaya Jelajah Penerangan UMNO ini mampu memberikan pendekatan, maklumat yang tepat kepada ahli parti.

“Jangan berlengah lagi, kita tidak ada masa yang banyak, gerakkan secepatnya dan turun ke akar umbi. Setiap bahagian untuk menjayakan Jelajah Penerangan UMNO dengan pendekatan, strategi yang kenal pasti dan sesuai digunakan masa era digital bagi menyampaikan segala maklumat, menjelaskan persepsi dan propaganda.

“Program yang amat tepat kerana di bawah sana (akar umbi) memerlukan satu penerangan terhadap beberapa persepsi dan juga pendekatan sesuai yang boleh kita aplikasikan dalam gerak kerja bagi menempuh pilihan raya yang akan datang.

“Setiap bahagian dan cawangan harus memainkan peranan supaya maklumat yang ingin disampaikan adalah tepat dan perlu disebarluaskan kepada para pengundi di kawasan masing-masing,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Pada masa yang sama Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kimanis memohon kepada semua ahli UMNO terutamanya di Sabah memperbaiki dan memulihkan kembali agar menjadi sebuah parti yang dominan.

“Kita lihat bagaimana UMNO naik, berhadapan dengan berbagai pancaroba dan cabaran yang begitu hebat sampai ke tahap hari ini. Kita memerlukan satu kesedaran yang begitu besar kepada semua ahli, semua peringkat untuk memulihkan semula UMNO menjadi sebuah parti yang dominan.

“Paling penting sama-sama menjadikan UMNO ini bukan hanya sebagai sebuah parti, tetapi sebagai platform, menjadi wadah dan memperjuangkan nasib orang-orang Melayu dan Bumiputera,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.