Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-78: “Tajdid” Memperbaharui Tekad Perjuangan UMNO

1. Pada hari ini 11 Mei, 78 tahun yang lalu dirasmikan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO (United Malays National Organisation) dengan tujuan menyatukan orang Melayu seluruh Semenanjung Tanah Melayu yang dibatasi oleh sempadan negeri-negeri Melayu yang diperintah oleh Raja Melayu masing-masing. Kesatuan Melayu ini penting bagi membawa negeri-negeri Melayu ini keluar daripada pengaruh Inggeris yang telah bertapak sejak 1874 di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan, di Pahang bermula 1888, di Kelantan bermula 1909, Johor bermula 1915 dan Terengganu bermula 1919.

2. Lahirnya UMNO rentetan kesedaran orang Melayu menolak cadangan penubuhan Malayan Union pada 1946 yang akan memperkukuhkan kuasa pentadbiran Inggeris di seluruh 9 negeri Melayu dan memencilkan kedaulatan dan kekuasan Raja-raja Melayu sejak ratusan tahun sekaligus mengancam kedudukan Islam sebagai agama berdaulat di seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Perjuangan ini akhirnya berjaya memaksa Inggeris menerima gagasan baru cadangan orang Melayu sendiri dinamakan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 sebagai sebuah negara persekutuan yang mengekalkan kedaulatan dan kekuasaan Raja-raja Melayu di negeri masing-masing dan pelantikan YDP Agong yang dipilih secara bergilir di kalangan 9 Raja-raja Melayu sebagai Ketua bagi negara dan pemegang kuasa eksekutif dan penglibatan rakyat jelata dalam kuasa pentadbiran sebagai kerajaan bagi menjalankan kuasa Raja-raja Melayu.

3. Tanpa menafikan peranan pelbagai pihak sama ada individu, pertubuhan bukan kerajaan dan parti-parti politik, sejarah menjadi saksi bahawa UMNO menerajui usaha merundingkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu sehingga diisytiharkan kemerdekaannya pada tarikh 31 ogos 1957. Tarikh kemerdekaan dirujuk kepada tokoh ulama dalam UMNO, Syeikh Ahmad Fahim, yang juga Mufti Pulau Pinang atas ketokohannya khususnya di bidang ilmu Falak. Maka bergemalah laungan MERDEKA di seluruh negara pada tarikh keramat penuh nikmat tersebut.

4. Sejarah juga mencatatkan perjuangan UMNO mengekalkan jati diri negeri-negeri Melayu sebagai Negeri Islam untuk berkesinambungan pula sebagai Negara Islam dalam kerangka baru negara persekutuan. Hasil memorandum daripada UMNO kepada Suruhanjaya Reid yang menggubal perlembagaan akhirnya tercatat dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa “Islam Agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai”. Inilah perisytiharan Persekutuan Tanah Melayu sebagai Negara Islam yang meletakkan segala keistimewaan bagi Islam sebagai agama yang berdaulat dalam negara ini untuk menjadi rujukan dan dasar dalam pentadbiran, pendidikan, perundangan dan pembangunan dengan segala Syiar Islam melibatkan ibadah perhambaan diri seperti Solat, Puasa, Zakat, Haji, Masjid dan Azan dan perundangan kekeluargaan dan muamalat terserlah dan zahir di seluruh negara.

5. Sejarah juga merekodkan bahawa perjuangan menegak, mempertahan, membangun dan mengembangkan Islam telah dilaksanakan oleh UMNO menerusi amanah berkerajaan sejak sebelum merdeka sehingga Malaysia hari ini diperakui oleh dunia Islam sebagai negara Islam terbaik dan menjadi contoh dalam semua aspek termasuk pembangunan Islam dan pentadbiran.

6. Perjuangan ini adalah selaras dengan Asas dan Tujuan UMNO sebagaimana dalam perlembagaan UMNO pada Fasal 3.1 iaitu “menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan”. Maka, bersempena dengan sambutan ke 78 UMNO, HENDAKLAH seluruh pemimpin dan ahli UMNO memperbaharui dan men”tajdidkan” Asas dan Tujuan UMNO iaitu “menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam” bagi memastikan agenda Islam yang telah “ditegakkan” oleh UMNO terus “dipertahankan” dalam Negara Islam ini dan “dikembangkan” lebih giat lagi khususnya dalam era Kerajaan Perpaduan.

7. “Tajdid” bukan ertinya membuat sesuatu yang baru tetapi “Tajdid” bermaksud “memperbaharui” apa yang sedia ada untuk sentiasa segar dan dilihat sentiasa baru. Komitmen “tajdid” ini telah dibuka pentasnya oleh Presiden UMNO dengan penubuhan Majlis Ulama UMNO yang berfungsi “menasihati” parti, ahli parti, kerajaan dan rakyat selaras dengan Hadis Nabi (saw)

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنا: لِمَنْ؟ قالَ: لِلَّهِ ولِكِتابِهِ ولِرَسولِهِ ولأَئِمَّةِ المُسْلِمِينَ وعامَّتِهِمْ
” Agama itu ialah Nasihat… untuk Allah, untuk Kitab-Nya, untuk Rasul-Nya dan untuk pemerintah-pemerintah orang Islam serta orang awam Islam”
(Hadis riwayat Muslim no 55)

8. Rakyat Malaysia juga menjadi saksi bahawa UMNO sebagai kerajaan bersama parti-parti lain dan pelbagai pihak telah berjaya membangunkan negara ini dengan segala sistem tata kelola dan pentadbiran, sistem infrastruktur dan kemajuan pembangunan, sistem pendidikan, sistem kebajikan dan lain-lainnya sehingga rakyat selepas 6 dekad merdeka menikmati apa yang mereka nikmati daripada Allah ini. Kejayaan membina negara ini mesti dipertahankan oleh UMNO dan dikembangkan lagi.

9. Di saat UMNO hari ini diuji perjuangannya oleh kejayaan pihak berkepentingan memecahkan kesatuan hati segelintir pimpinan dan ahli parti sehingga sebahagian kuasa yang dinikmati sejak sebelum merdeka berada di tangan pihak lain, maka HENDAKLAH seluruh pemimpin dan ahli UMNO memperbaharui tekad perjuangan UMNO sebagaimana termaktub pada Fasal 3 Perlembagaan UMNO iaitu “UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputra, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan Negara”

10. Juga HENDAKLAH disemarakkan cogankata pada Fasal 2 iaitu “bersatu bersetia berkhidmat” dengan berterusan BERSATU memupuk perpaduan hati dan persaudaraan di kalangan pemimpin dan ahli, BERWALAK SETIA kepada perjuangan, pemimpin dan sesama ahli dan BERKHIDMAT dalam parti demi mencapai redha Allah dan pahala-Nya tanpa mengharapkan habuan dunia semata-mata.

Selamat Menyambut Ulang Tahun UMNO ke 78.

Sekian

Ustaz Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Timbalan Pengerusi
MAJLIS ULAMA UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.