Wakil Rakyat Pembangkang Pinjam Bank… Hanya Gimik Semata-Mata, Jangan Merungut Isu Peruntukan

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan wakil rakyat pembangkang untuk tidak terus merungut mengenai isu peruntukan.

Ini kerana katanya, ura-ura mengenai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terpaksa membuat pinjaman bank untuk membantu rakyat hanyalah gimik semata-mata untuk mendapatkan simpati rakyat.

“Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man merungut ada ADUN pembangkang terpaksa buat pinjaman bank untuk bantu rakyat. Itu hanya gimik untuk dapat simpati.

“Betulkah pinjaman itu dibuat untuk bantu rakyat atau dibelanjakan untuk perkara lain? Berpuluh tahun Pas jadi pembangkang tanpa peruntukan. Boleh sahaja mereka hidup.

“Pas pun pandai jual air liur…. yang taksub tetap sokong Pas. Kerajaan buat jalan raya pun mereka tidak peduli,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa Pas tidak perlu lagi bising mengenai peruntukan kerana parti itu mempunyai duit yang banyak.

“Maka tidak perlulah wakil rakyat Pas bising bising pasal peruntukan. Pas pun banyak duit. Bantulah wakil rakyat mereka. Semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-7, semua aset UMNO kena beku. Tak ada hal.

“Justeru wakil rakyat pembangkang tidak perlu merungut dan merengek,” katanya.

Pada Rabu media melaporkan Ketua Pembangkang Pahang mendakwa ada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) di negeri itu terpaksa berhutang dan membuat pinjaman bank untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Ibrahim Tuan Man berkata, pinjaman itu merupakan alternatif bagi membanyar kos operasi pusat khidmat DUN kerana pembangkang tidak diberikan sebarang peruntukan oleh kerajaan negeri untuk tujuan itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.