Aplikasi Mesyuarat Cawangan Untuk Perkukuh UMNO… Terus Bersatu, Bersetia, Berkhidmat – Tengku Adnan
PUTRAJAYA, 22 April – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak ahli-ahli UMNO di akar umbi untuk mengaplkasi mesyuarat cawangan yang bermula hari ini bagi memperkukuh parti agar perjuangannya terus menjadi legasi setiap generasi.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, mesyuarat di peringkat cawangan amat penting bagi menyelami dan menghayati perjuangan parti sejak penubuhannya hinggalah ke hari ini.
“Apabila teras perjuangan difahami maka agenda bagi meneruskan usaha mengembalikan parti ke tampuk yang kukuh akan dapat dilaksana sebaiknya malah akan terus bersama parti atas tekad bersatu, bersetia dan berkhidmat,” katanya.
Ujar beliau, UMNO tidak pernah sunyi daripada diasak dengan pelbagai isu tidak kiralah sama ada bergelar kerajaan, menjadi pembangkang dan hari ini berada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Apa yang pasti pelbagai perkara negatif dikaitkan dengan UMNO kebanyakannya lahir dari persepsi, manipulasi dan provokasi oleh pihak tertentu. Bukan hanya ahli-ahli UMNO tetapi pemikiran rakyat juga diracuni dengan agenda-agenda palsu dan isu-isu remeh yang tidak benar.
“Perlu difahami bahawa ketulusan perjuangan UMNO bukanlah sekadar sebuah parti politik semata-mata kerana asas dan tujuannya ditubuhkan berteraskan semangat nasionalisme Melayu untuk kemerdekaan dan kedaulatan.
“UMNO mendukung dan mempertahankan Perlembagaan negara dengan konsep Raja Berperlembagaan. Perjuangan UMNO selari dengan Perlembagaan Malaysia. Kita berjuang untuk UMNO samalah seperti kita mempertahankan Perlembagaan negara kita kerana kita berteraskan kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Selari dengan itu, beliau menganggap mesyuarat peringkat cawangan UMNO ini akan dapat menzahirkan gerak kerja mantap tidak kira apa atas apa juga keadaan.
Dilaporkan, Januari lalu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan berkenaan tarikh persidangan cawangan UMNO 2024 seluruh negara akan diadakan bermula 22 April sehingga 2 Jun, manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian akan diadakan pada 21 Jun hingga 29 Julai.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online