Wan Rosdy Harap MCA,MIC Timbang Semula Keputusan Menjelang PRK Kuala Kubu Baharu

KUALA LUMPUR, 21 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap MIC dan MCA mempertimbangkan semula tindakan mereka  menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu agar kemenangan PRK kali ini terus kekal menjadi milik Kerajaan Perpaduan yang menjadi teras kepada kestabilan dan kemakmuran negara ketika ini.

Bagi beliau dalam meraikan politik baharu yang lebih matang terutamanya selepas PRU-15, parti-parti komponen BN termasuk UMNO sekalipun harus menerima perubahan ini kerana kita telah bersetuju bersama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Saya mengambil maklum mengenai keengganan MCA dan MIC untuk turun berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan sekiranya kerusi DUN itu tidak ditandingi oleh calon daripada Barisan Nasional (BN).

“Saya menghormati keputusan kedua-dua parti tersebut, tetapi sebagai rakan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan, kita juga harus menerima apa jua keputusan untuk meletakkan siapa calon yang sesuai untuk bertanding di kerusi tersebut.

“Formula kerjasama ini telah memberikan kita peluang lebih baik seperti mana kemenangan yang telah BN capai ketika PRK Pelangai dan juga Tioman,” katanya menerusi kenyataan media, di sini hari ini.

Wan Rosdy seterusnya menambah perkara berkenaan tidak mendatangkan apa-apa manfaat secara keseluruhannya dan berharap keputusan itu ditimbang semula.

“Saya juga melihat keengganan MCA dan MIC tidak mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua parti tersebut, sebaliknya tindakan mereka itu akan menjauhkan lagi mereka daripada masyarakat yang diwakili mereka.

“Oleh itu, saya berharap MIC dan MCA mempertimbangkan semula tindakan mereka itu agar kemenangan PRK kali ini terus kekal menjadi milik Kerajaan Perpaduan yang menjadi teras kepada kestabilan dan kemakmuran negara ketika ini,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.