Hayati Titah Agong… Jangan Mainkan Isu 3R – Ahli Parlimen Jempol

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli menyeru agar semua pihak mendukung titah Yang di-Pertuan Agong supaya memperkukuh perpaduan negara dan tidak menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R (race, religion, royalty).

Menurut beliau isu-isu sensitif dikhuatiri boleh menyebabkan suasana yang tidak harmoni dalam negara yang berbilang kaum di negara ini.

“Isu sensitiviti janganlah dimainkan sebagai modal politik, kelak semua terbakar. Teras ‘kontrak sosial’ hendaklah dihormati sebagai tunggak pembinaan negara bangsa di negara Malaysia tercinta ini.

“Kontrak sosial ialah persetujuan yang dicapai sebelum negara mencapai kemerdekaan dalam kalangan para pemimpin berbilang kaum. Kontrak sosial didukung oleh Perkara 153 Perlembagan Persekutuan sejak 1957 dan di jadikan asas dalam pembentukan Malaysia 1963 dengan menyertakan Bumiputera Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong di Parlimen.

Walau bagaimanapun, tambah Shamshulkahar lagi ramai di kalangan generasi muda tidak memahami pembinaan negara bangsa melalui kontrak sosial yang berasaskan persetujuan semua kaum sehingga terlajak kata mempersoalkan perkara-perkara sensitif.

“Justeru, Jempol mencadangkan agar topik kontrak sosial dijadikan tajuk utama dalam mata pelajaran Sejarah agar dapat dihayati oleh semua pelajar,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.