Formula ABCDE Mantapkan Lagi UMNO/BN Hadapi PRU16 – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 19 Feb – UMNO/ Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan lima formula bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, lima formula yang digunakan adalah memastikan parti dalam keadaan kesiapsiagaan tinggi.

“Pertama adalah Aktiviti (A) iaitu kita kena banyak mengadakan aktiviti di semua bahagian-bahagian. Kedua adalah Bersepadu (B) antara lima peringkat iaitu Bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan Veteran UMNO.

“Ketiga adalah prospek Calon (C). Lihat calon-calon yang terbaik dan siapa-siapa yang sesuai dengan tempat yang akan bertanding. Bagi tempat-tempat yang tidak akan bertanding banyak perkara yang boleh membantu rakyat supaya imej UMNO ini akan sentiasa dilihat bersama rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan formula keempat dan kelima pula antara lain setiap jentera parti mempunyai data pengundi dan menjaga emosi mereka dengan baik.

“Manakala formula keempat adalah Data (D), iaitu kita perlu ada data penyokong, pengundi, anak-anak lepasan sekolah dan atas pagar.

“Formula yang terakhir adalah Emosi (E) iaitu kena jaga emosi rakyat supaya masyarakat suka dan menganggap bahawa UMNO boleh diharapkan. Akhirnya formula ABCDE boleh digunapakai bagi menghadapi PRU ke-16.”

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian mengharapkan agar UMNO terus kekal mempertahankan kerusi yang dimenangi dan memenangi kerusi yang bakal dipertandingkan.

“Sudah pasti UMNO akan mengekal serta mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU lalu dan akan memastikan kerusi yang akan bertanding dapat dimenangi… itu sangat penting,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.