PM Anwar Merafak Sembah Tahniah Sultan Ibrahim Sebagai Agong ke-17

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar turut mendoakan semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku,” menurut catatan itu.
Sultan Johor Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, hari ini, bagi tempoh lima tahun.

Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.
Pada istiadat itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lepas bagi tempoh lima tahun bermula hari ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.