Menteri Kabinet Merafak Sembah Tahniah Kepada Sultan Ibrahim Sebagai Agong Ke-17

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Jemaah Menteri merafak sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang diyakini mampu memberi bimbingan dan nasihat kepada Kabinet bagi meneruskan komitmen kerajaan dalam meningkatkan perpaduan, kesejahteraan dan pembangunan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya dengan segala pengalaman yang ada pada Sultan Ibrahim dapat membantu menerajui Malaysia untuk memastikan negara berada pada landasan yang betul.

“Saya percaya ini yang menjadi harapan rakyat dan saya pasti berdasarkan pengalaman bersama-sama dengan Tuanku sebelum ini sebagai Menteri Besar (Johor), saya percaya Tuanku dapat benar-benar memainkan peranan untuk memberi apa-apa pandangan yang baik demi masa depan negara,” katanya kepada Bernama di Istana Negara hari ini.

Sultan Ibrahim hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.
Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri pula melahirkan keyakinan bahawa Malaysia mampu mencapai kemajuan di pelbagai peringkat, baik tempatan mahupun antarabangsa di bawah naungan Sultan Ibrahim.

“Kita di kementerian juga akan sentiasa memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat di bawah bimbingan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut menyatakan keyakinan bahawa kestabilan politik negara serta kesejahteraan hidup rakyat akan dapat ditingkatkan lagi sepanjang lima tahun pemerintahan Sultan Ibrahim yang bermula hari ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kebijaksanaan Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara dilihat akan memperkuat iltizam kerajaan terutama kementeriannya bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih kukuh dan mampan.

Bagi Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, beliau yakin pemerintahan Sultan Ibrahim untuk tempoh lima tahun mendatang akan mengukuhkan lagi perpaduan negara sesuai dengan simbol Yang di-Pertuan Agong yang memayungi rakyat berbilang kaum di negara ini.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pula merakamkan keterujaan untuk berkhidmat di bawah naungan Sultan Ibrahim dan memastikan kestabilan kerajaan dalam meneruskan mandat dalam membangunkan tanah air.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang merafak sembah kepada Seri Paduka Baginda berdua menerusi hantaran dalam Facebook, turut mendoakan agar Malaysia akan terus makmur dan maju di bawah pemerintahan Sultan Ismail dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

“Patik juga mendoakan ke hadrat Allah SWT. Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menerusi hantaran dalam akaun X beliau, turut merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Seri Paduka Baginda berdua.

Menerusi platform yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pula mendoakan agar Malaysia akan terus makmur dan maju di bawah pemerintahan Seri Paduka Baginda berdua.

“Semoga Ke bawah Duli Tuanku berdua dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan dalam memerintah Malaysia,” kata Dr Zaliha menerusi catatan di X. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.