Kesatuan Eropah Lulus Geran RM9.5 Juta Untuk Kajian Sektor Pelabuhan Dan Maritim Di Perak

IPOH, 11 Dis – Kesatuan Eropah (EU) meluluskan geran berjumlah RM9.5 juta kepada Pelabuhan Antarabangsa Antwerp-Bruges (PoABI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PNKPk) bagi melaksanakan kajian potensi negeri itu dalam sektor pelabuhan dan maritim.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata geran itu bertujuan untuk menjalankan kajian terhadap daya tarikan Malaysia dalam dua sektor tersebut serta memaparkan data-data mengenai kesesuaian Lumut sebagai pusat logistik dan pengangkutan antarabangsa.

Beliau berkata pemberian geran daripada EU ini merupakan satu pencapaian penting yang membuktikan kepentingan negara ini sebagai sebuah destinasi pelaburan utama.

“Selain membantu Lumut mencapai potensinya sebagai penggerak utama yang memacu pembangunan terangkum dan mampan bagi negeri Perak, kekayaan sumber semula jadi negeri ini serta ketersediaan infrastruktur ditambah dengan pembangunan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC).

“Hubungan yang terjalin dengan PoABI telah menjadikan negeri ini tarikan kepada EU untuk membuat kajian secara komprehensif,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman geran berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu,Duta Besar EU di Malaysia, Michalis Rokas, Duta Besar Belgium di Malaysia, Peter Van Acker, Pengarah Urusan PoABI, Kristof Waterschoot dan Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Mengulas lanjut, Saarani berkata kajian komprehensif yang akan dijalankan itu merangkumi sembilan penilaian dengan empat penilaian awal akan memberi tumpuan kepada Malaysia secara umum bagi menarik potensi EU atau pelabur asing lain.

Katanya, lima lagi baki penilaian akan memberi tumpuan dalam menyediakan hala tuju Lumut sebagai pintu masuk ke negara ini

Beliau berkata kajian tersebut sudah bermula sejak September lalu dan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Saarani berkata Perjanjian Pemegang Saham Usaha Sama (JVSA) untuk menubuhkan LuMIC Development Sdn Bhd (LuMIC DevCo) turut ditandatangani sebagai sebuah syarikat bagi membangunkan dan menguruskan LuMIC secara bersepadu.

Katanya, JVSA ini merupakan fasa baharu kerjasama PKNPk dan PoABI dalam menjayakan inisiatif LuMIC dengan menjadikan Perak sebagai pusat maritim dan logistik terkemuka sambil memanfaatkan peluang pertumbuhan sosioekonomi.

“Kerjasama strategik antara PKNPk dan PoABI untuk menubuhkan LuMIC dan menjadikan pusat serantau baharu di Selat Melaka adalah sebahagian daripada usaha untuk mencapai wawasan Perak Sejahtera 2030, sejajar dengan komitmen untuk menjadi pusat maritim terulung selain mewujudkan persekitaran mesra pelabur,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.