PPSAS Guna Sistem Pintar, Teknologi Hijau – Wan Rosdy

KUANTAN, 7 Dis – Pembinaan Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di KotaSAS, di sini yang akan menjadi pusat pentadbiran baharu Pahang, mengaplikasikan teknologi hijau dan sistem bangunan pintar.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembinaan bangunan yang terbahagi kepada empat blok utama dengan kos RM415.52 juta itu juga diinspirasikan daripada jata negeri.

“PPSAS menempatkan keseluruhan pentadbiran kerajaan negeri dengan penerapan bangunan pintar yang menekankan ciri keselamatan seperti sistem pengecaman wajah,” katanya semasa berucap pada perasmian PPSAS.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli menyempurnakan perasmian itu, yang turut menyaksikan keberangkatan paduka-paduka anakanda baginda.

Wan Rosdy berkata PPSAS juga memberi penekanan kepada pemeliharaan alam sekitar sebagaimana dititahkan Seri Paduka yang mahu setiap pembangunan di negeri itu berlandaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Selain itu, beliau menyifatkan pembinaan PPSAS bersesuaian dengan masa bagi menggantikan Wisma Sri Pahang di tengah bandar Kuantan yang telah beroperasi lebih lima dekad sejak 1970.

“Bangunan sedia ada pada masa kini berada dalam keadaan amat tidak memuaskan serta tidak ekonomik untuk dibaiki. Pertambahan warga kerja setiap tahun menjadikan ruang kerja terlalu sesak dan menimbulkan ketidakselesaan kepada semua penjawat awam bertugas,” katanya.

Justeru, Wan Rosdy berkata kewujudan PPSAS diharapkan dapat meningkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan penjawat awam negeri ke arah keseimbangan pembangunan dan kelestarian negeri.

Pada ucapannya, beliau turut memaklumkan kerajaan Pahang setakat 3 Dis lepas berjaya mengutip hasil berjumlah RM1.164 bilion, mengatasi sasaran RM1.083 bilion yang ditetapkan tahun ini sekali gus mengekalkan prestasi kutipan melebihi RM1 bilion bagi tempoh dua tahun berturut-turut. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.