Perak Umum Bantuan Khas Kewangan Sebulan Gaji Kepada 48 Adun, Speaker

IPOH, 7 Dis – Kerajaan Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji kepada 48 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang serta Speaker Dewan Undangan Negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri turut bersetuju untuk meneruskan peruntukan pengurusan kepada kesemua 59 Pusat Khidmat ADUN sebanyak RM7,000 sebulan.

“Dengan RM7,000 sebulan dapatlah membiayai bayaran elaun pegawai khas Pusat Khidmat masing-masing, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan lain-lain yang berkaitan.

“Sebagai buah tangan pada persidangan kali ini, kerajaan negeri bersetuju untuk membayar BKK satu bulan gaji kepada 48 ADUN (yang tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dan Speaker,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024.

Beliau berkata pada belanjawan kali ini kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan berjumlah RM45.5 juta bagi menyelaras, menambah baik dan melicinkan urus tadbir termasuk mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan di semua 59 kawasan DUN di Perak.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang merangka satu pekeliling yang akan dikeluarkan pada bulan hadapan mengandungi garis panduan terhadap tatacara perbelanjaan bagi peruntukan berkenaan dan akan meneliti kaedah agihan peruntukan bagi kawasan DUN yang dilaksanakan di negeri-negeri lain sebagai rujukan dan perbandingan.

“Apa jua pendekatan yang kita akan putuskan dalam pekeliling itu kelak, kerajaan negeri tidak akan menzalimi mana-mana rakyat di semua 59 kawasan DUN di Perak.

“Kerajaan negeri akan memastikan setiap lapisan rakyat, tanpa mengira kawasan kerajaan mahu pun pembangkang, akan dapat menikmati hasil peruntukan yang disalurkan,” katanya.

Pada Jumaat lepas, kerajaan Perak mengumumkan BKK dua bulan gaji kepada penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri menerusi Belanjawan 2024.

Pemberian BKK itu termasuk kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, ex officio, semua guru lantikan negeri, orang besar jajahan serta pekerja sambilan harian.

Sementara itu, wakil pembangkang Datuk Zainol Fadzi Paharudin pada sidang media mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar kerana pemberian BKK berkenaan yang disifatkan sebagai pengiktirafan kepada peranan ADUN kerajaan dan pembangkang.

“Kami gembira dengan pengumuman itu yang tidak mengambil pendekatan untuk membezakan ADUN kerajaan dan pembangkang. Ini contoh tindakan Menteri Besar yang begitu prihatin kepada pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.