DUN Perak Lulus Belanjawan 2024 Berjumlah RM1.35 Bilion

IPOH, 7 Dis – Dewan Undangan Negeri Perak hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan 2024 yang memperuntukkan RM1.35 bilion.

Seramai 43 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dengan 19 wakil daripada blok kerajaan dan 24 blok pembangkang sejak Isnin lepas.

Pada Jumaat lepas, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad membentangkan Belanjawan 2024 berkenaan yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’.

Belanjawan itu menggariskan lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar serta Keterjaminan Bekalan Makanan berdasarkan pelan Perak Sejahtera 2030.

Ketika sesi penggulungan perbahasan belanjawan itu, Saarani berkata kerajaan negeri berusaha memastikan belanjawan berkenaan bersifat responsif terhadap situasi ketidaktentuan ekonomi termasuk senario peningkatan kos sara hidup yang saban hari menekan kehidupan rakyat.

Beliau berkata selain menaikkan kadar semasa bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kadar bantuan Kad Perak Sejahtera, kerajaan negeri juga akan meneruskan inisiatif Kedai Bergerak Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat kurang berkemampuan dapat membeli barangan keperluan pada harga lebih murah.

“Bantuan Program Bantuan Kotak Makanan yang menyasarkan bantuan keperluan makanan kepada golongan B40, miskin, miskin tegar dan mangsa bencana di seluruh Perak juga diteruskan dengan peruntukan RM5 juta.

“Di samping itu, inisiatif Jualan Rahmah akan diteruskan dalam penganjuran program-program kerajaan negeri,” katanya.

Mengenai jurang pendapatan rakyat antara daerah yang semakin melebar, Saarani berkata kerajaan negeri memberi tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan taraf isi rumah B40 ke arah masyarakat kelas menengah dengan mewujudkan pelaburan dan industri baharu di daerah berpotensi berdasarkan kepada kekuatan pengkhususan daerah itu.

“Fokus bagi 2024 adalah pembangunan perusahaan berasaskan komuniti dan sosial yang bersesuaian dan menawarkan akses kepada peluang pekerjaan dan memperkukuh jaringan perlindungan sosial bagi mengurangkan ketidaksamarata.

“Selanjutnya, kerajaan negeri akan mengukuhkan sinergi dengan Kerajaan Persekutuan untuk menjayakan inisiatif menoktahkan kemiskinan melalui usaha meningkatkan pendapatan dan menambah baik taraf hidup rakyat, selain meluaskan peluang ekonomi dan perlindungan, serta menambah baik akses perkhidmatan asas,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.