17 Projek Bekalan Air Dilaksanakan Di Pahang Tahun Ini – MB

KUANTAN, 6 Dis – Sebanyak 17 projek bekalan air telah disiapkan di negeri ini sepanjang 2023 melibatkan peruntukan hampir RM74 juta, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyelesaikan isu air di Pahang secepat mungkin dan projek bekalan air tahun ini telah dilaksanakan di beberapa daerah termasuk Lipis, Temerloh, Bentong dan Raub.

“Kita tak abaikan masalah air … kita akan cuba cepatkan meskipun sasaran kita 90 peratus isu bekalan air di Pahang dapat diselesaikan pada 2026,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (PN-Beserah) yang meminta jaminan tiada lagi kebocoran paip dan kehilangan sumber air semula selepas projek berkenaan dilaksanakan.

Ketika menjawab soalan asal, Wan Rosdy memaklumkan sebanyak 93 daripada 217 Projek Pembangunan Bekalan Air Pahang Fasa 1 2021 hingga 2026 telah disiapkan, manakala 37 lagi masih dalam pembinaan dan 87 di peringkat prapembinaan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM17.8 juta telah diperuntukkan bagi menyelesaikan masalah terputus bekalan dan tekanan air rendah di kawasan Kampung Darat Sekolah, Kampung Jeram, Kampung Bukit Gelugor dan Taman Batu Hitam di Kuantan yang melibatkan 3,900 akaun pengguna.

Wan Rosdy berkata status semasa projek ini adalah di peringkat lantikan perunding yang akan dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan projek ini dijangka bermula pada pertengahan 2024 dan siap pada 2025. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.