Pahang Raih Nilai Pelaburan Komited RM10.415 Bilion Setakat Jun Lepas

KUANTAN, 5 Dis – Pahang merekodkan nilai pelaburan komited berjumlah RM10.415 bilion setakat Jun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM9.575 bilion adalah pelaburan langsung asing, manakala 839.4 juta merupakan pelaburan langsung domestik.

Menurut Mohammad Fakhruddin kerajaan negeri melaksanakan pelbagai strategi pelaburan untuk menarik kehadiran lebih banyak pelabur, antaranya dengan mengaplikasikan strategi pelaburan berasaskan lokasi.

“Lokasi projek ditentukan mengikut pengezonan sektor kluster industri seperti di Gebeng, Kuantan yang melibatkan beberapa seksyen untuk pelabuhan dan petrokimia, industri berat dan sederhana serta perindustrian perkayuan dan industri digital serta teknologi.

“Selain itu, Tanjung Agas di Pekan sebagai kawasan industri seperti maritim, perkilangan dan pembuatan, manakala Kechau Tui di Lipis bagi kawasan perindustrian berasaskan pertahanan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Woo Chee Wan (PH-Mentakab) bagi pihak Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib yang tidak hadir kerana bercuti sakit.

Woo ingin tahu jumlah pelaburan diperoleh Pahang sehingga Jun lepas dan langkah serta tindakan kerajaan negeri untuk meningkatkan prestasi untuk menarik pelabur memilih negeri ini.

Mohammad Fakhruddin berkata kerajaan negeri memfokuskan usaha dan pelan tindakan ke arah penambahbaikan infrastruktur bagi menyokong inisiatif untuk menarik lebih banyak pelaburan, selain menyediakan pelbagai inisiatif dan kemudahan kepada pelabur.

“Sebagai contoh, Bahagian Pelaburan dan Penswastaan (BPP) bertindak sebagai agensi pusat sehenti bagi memudah cara urusan pelaburan bersama syarikat berkaitan kerajaan serta agensi teknikal di peringkat negeri atau Persekutuan terutamanya dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) khususnya berkaitan tawaran insentif kepada projek pelaburan berimpak tinggi.

Pembangunan dan tayangan video korporat Pahang dan penyertaan di beberapa program pameran pelaburan juga dilaksanakan sebagai promosi dan publisiti bagi menarik pelaburan baharu, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.