Jalaluddin Sambut Baik Liputan 5G Luar Bandar, Peranti Satelit Starlink Kampung Orang Asli

SEREMBAN, 15 Okt – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias  berkata pihaknya menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  bagi menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan luar bandar di negara ini mendapat liputan telekomunikasi teknologi 5G, pertengahan tahun 2024 dan 85 peratus menjelang akhir tahun 2024.

Menurut beliau, sebagai Exco Kanan Kerajaan Negeri pihaknya berharap Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) memberi perhatian yang optimum kepada keperluan masyarakat luar bandar di Negeri Sembilan.

“Ini kerana, Negeri Sembilan merupakan salah satu negeri yang sedang bergerak maju dan laju dalam memberi keseimbangan kemodenan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

“Selaku wakil rakyat di kawasan luar bandar juga, saya sendiri merasai keperluan mendesak untuk capaian internet ini diperlukan dalam aktiviti masyarakat setempat, khususnya bagi proses mencari ilmu, berniaga, urusan peribadi dan sebagainya.

“Termasuklah saranan bagi mengenal pasti kawasan-kawasan Orang Asli untuk pemasangan peranti satelit Starlink. Diharapkan ia dapat direalisasikan agar masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus perdana masa kini dan masa depan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Katanya lagi impian beliau adalah untuk melihat kehidupan masyarakat luar bandar sentiasa dalam keadaan selesa, harmoni dan tidak ketinggalan berbanding masyarakat di kawasan bandar, Insya-Allah.

Memetik laporan, kerajaan menyasarkan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan luar bandar di negara ini, mendapat liputan telekomunikasi teknologi 5G pada pertengahan tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan juga, akan memastikan tidak kurang daripada 85 peratus kawasan luar bandar, mendapat liputan 5G pada akhir 2024.

Ahmad Zahid berkata demikian pada program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini. – UMNO Online

@umnoonline