Tahniah BN, Kemenangan Akan Diterjemah Kepada Khidmat Bakti Untuk Rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR, 8 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai semalam adalah amanah yang akan dijunjung dan diterjemah kepada khidmat bakti untuk rakyat.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut) mengucapkan tahniah kepada calon BN Datuk Amizar Abu Adam yang telah memenangi PRK terbabit.

“Saya yakin dan percaya bahawa YB Datuk Amizar akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan cemerlang.

“Kemenangan ini merupakan bukti keyakinan rakyat semakin meningkat terhadap BN dan dasr-dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan kian mendapat sokongan.

“Kemenangan ini juga memperlihatkan nilai kesepakatan utuh di antara BN dan Pakatan Harapan yang bukan sahaja mampu bekerjasama diperingkat pentadbiran dan pengurusan negara malahan diperingkat pengurusan pilihan raya bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara yang berterusan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya bersempena keputusan PRK terbabit.

Dalam masa yang sama, Azalina juga mengucapkan penghargaan kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta seluruh jentera pilihan raya BN dan PH yang telah bertungkus-lumus berganding bahu mencipta kemenangan.

“Terima kasih kepada para pengundi DUN Pelangai kerana telah memberi sokongan dan kepercayaan kepada BN,” katanya lagi.

Amizar memenangi kerusi Pelangai dengan meraih 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional, Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi dan calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasni yang sekadar memperoleh 47 undi.

Ia adalah kemenangan ketiga buat BN-Pakatan Harapan, selepas PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor pada 9 Sept lalu.

PRK itu diadakan susulan kematian Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.