Kemenangan DUN Pelangai Petanda Positif Buat Kerajaan Perpaduan – Ahmad Jazlan

KUALA LUMPUR, 8 Okt – UMNO Negeri Kelantan mengucapkan sekalung tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di atas kejayaan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung semalam.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menzahirkan penghargaan kepada jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang sentiasa kerja keras demi kemenangan DUN Pelangai.jazlan kelantan

“Tidak lupa juga kepada seluruh jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) yang bertungkus lumus bekerja keras bagi kemenangan calon Kerajaan Perpaduan ini di dalam PRK Pelangai.

“Kita akui banyak lagi perlu diperbaiki prestasi dan tahap keyakinan pengundi-pengundi Melayu terhadap kerjasama gabungan ini yang baharu sahaja mencapai setahun, namun indikator terbaru bahawa BN menang lapan daripada sembilan saluran anak muda memberi petanda bahawa sokongan belia terhadap Kerajaan pada hari ini telah meningkat.

“Pengundi mula sedar bahawa gabungan Kerajaan Perpaduan Nasional di antara kerjasama BN dan PH inilah yang terbaik buat rakyat, yang mementingkan hubungan harmoni pelbagai kaum,” katanya menerusi satu kenyataan pada UMNO Online, hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Madani Negeri Kelantan merasa syukur pada Allah SWT atas kemenangan yang diberikan.

“Alhamdulillah… segala puji dan syukur semutlaknya milik Allah. Dia yang memberikan kemenangan dan Dia juga berkuasa menentukan kekalahan. Apa jua keputusan kami sentiasa bermuhasabah untuk menjadi lebih baik, InsyaAllah,” katanya lagi.

Terdahulu, Datuk Amizar Abu Adam memenangi PRK DUN Pelangai, dengan majoriti undi sebanyak 2,949 menerusi saingan tiga penjuru sekaligus mempertahankannya.

Ia adalah kemenangan ketiga buat BN-PH, selepas PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Johor pada 9 Sept lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.