BN Kekal Di Pelangai Bukti Pengundi Tolak Kempen Manipulasi – Sharkar

BENTONG, 8 Okt – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam memperlihatkan masyarakat Pelangai menolak kempen manipulasi dan fitnah yang pelbagai.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata bentuk kempen sedemikian rupa yang dipraktikkan oleh pihak lawan ternyata tidak diterima secara total oleh masyarakat setempat.

Malah beliau penuh yakin masyarakat setempat mengiktiraf segala perancangan dan segala pelaksanaan oleh mantan-mantan ADUN sebelum ini termasuklah apa yang telah diusahakan oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

“Kemenangan Datuk Amizar Abu Adam memperlihatkan penduduk setempat tidak dapat menerima kempen-kempen yang sekadar membawa isu-isu yang berkaitan 3R dan sebagainya lagi kerana masing-masing tahu PRK itu adalah untuk menggantikan wakil rakyat sebelum ini yang meninggal dunia.

“Apabila berlaku kekosongan PRK diadakan dan alhamdulillah penduduk setempat telah membuat pilihan yang bijak dengan mengekalkan BN sebagai parti yang mewakili mereka di DUN Pelangai,” katanya kepada UMNO-Online.

Apa pun tambah Sharkar lagi segala keputusan yang berkaitan dengan PRK Pelangai akan diambil kira termasuklah jumlah undi yang diterima dan sebagainya lagi.

“Itu terlalu awal untuk kita utarakan dan perbincangkan secara lanjut. Biasalah PRK…Namun apa yang penting di sini penduduk DUN Pelangai sekali lagi mahu BN mewakili mereka dan mahu selari dengan kerajaan negeri serta kerajaan pusat. Terima kasih pengundi Pelangai.

“Terima kasih juga kepada seluruh jentera parti yang bertungkus lumus membantu kemenangan BN sejak dari awal kempen hingga ke akhir pengundian. Terima kasih semua,” ujarnya.

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai apabila calonnya, Datuk Amizar Abu Adam menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan dengan majoriti 2949 undi.

Datuk Amizar Abu Adam memperolehi 7324, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, 4375 dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli 47. undi rosak 120.

Perkara berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Dewan Orang Ramai Kemasol. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.