Amizar Rakam Penghargaan, Kemenangan Milik Semua

BENTONG, 8 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Amizar Abu Adam mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pengundi kawasan itu yang telah membuat keputusan memilihnya wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Pada masa yang sama beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera parti pelbagai peringkat yang bertungkus-lumus sejak dari awal kempen hingga tamat waktu pengundian semalam.

“Terima kasih semua warga Pelangai kita. Kemenangan ini milik kita semua. Pilihan raya sudah tamat. Pelangai sudah bersuara. Kini masa untuk BN (Barisan Nasional) meneruskan legasi dengan menjadikan segala perancangan menjadi kenyataan.

“Kita akan lakukan yang terbaik. Kita akan pastikan ibu ayah abang adik di Pelangai ini dijaga,” katanya kepada UMNO Online.

Katanya lagi kepercayaan pengundi semalam memberi peluang untuk beliau berkhidmat di bumi sendiri.

“Takdir Allah itu sangat indah dan cantik. Ya, bukan satu perkara yang mudah untuk meneruskan legasi kepimpinan di  Pelangai. Tapi saya yakin dengan bantuan dan sokongan semua, saya pasti saya mampu lakukan.

“Terima kasih kepimpinan UMNO dan BN atas kepercayaan ini. Terima kasih Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta pimpinan UMNO seluruh Negeri Pahang atas tunjuk ajar dan sokongan kepada diri ini.

“Terima kasih UMNO Bahagian Bentong atas segala bantuan untuk kemenangan ini. Terima kasih semua jentera…tanpa ada semua, kemenangan ini tidak akan dapat dirasa,” tambahnya.

BN mengekalkan kemenangan di DUN Pelangai apabila calonnya Amizar menang  pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan dengan majoriti 2,949 undi.

Amizar memperolehi 7,324, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, 4,375 dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli 47 dan undi rosak 120.

Perkara berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Dewan Orang Ramai Kemasul malam tadi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.