Undilah Dengan Bijaksana, Buat Keputusan Terbaik Demi Perpaduan, Kestabilan Dan Kemakmuran – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 7 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat mengundi buat para pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada hari ini.

“Undilah dengan bijaksana dan buatlah keputusan yang terbaik demi perpaduan, kestabilan dan kemakmuran negara. Selamat mengundi,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Dilaporkan, tepat 8 pagi ini, sebanyak sembilan pusat mengundi melibatkan 30 saluran akan dibuka hingga 6 petang, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini.

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan cuaca diramalkan baik pada sebelah pagi manakala ribut petir dijangka pada waktu petang, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

PRK berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Kasim (PN), calon Pakatan Harapan Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.