BN Menang, Kekalkan Kerusi DUN Pelangai

BENTONG, 7 Okt – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai apabila calonnya, Datuk Amizar Abu Adam menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan dengan majoriti 2,949 undi.

 Amizar memperoleh 7324, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, 4375 dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli 47 sementara undi rosak 120.

Perkara berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Dewan Orang Ramai Kemasol.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; calon BN, Datuk Amizar Abu Adam serta pimpinan BN lain turut berada di pusat pengumuman berkenaan.

Penyokong BN yang turut berada di luar pekarangan pusat pengumuman turut meraikan kemenenangan berkenaan.

Pada PRU lalu, DUN Pelangai dimenangi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun majoriti 4,048 undi dan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.

Allahyarham menewaskan Kasim Samat dari Perikatan Nasional PN) (3,260 undi), Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi.

Seramai 16,456 pemilih berdaftar layak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini bagi memilih wakil rakyat kerusi N36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

DUN terbabit diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 14 hari berkempen bermula dari 23 Sept lalu sebagai hari penamaan calon dan hari ini adalah pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan pemilih berdaftar.

Berdasarkan statistik dikongsikan SPR, pemilih bagi DUN Pelangai merangkumi 8,254 lelaki dan 8,202 wanita dengan pengundi muda berusia antara 18 hingga 29 tahun adalah seramai 3,728 orang.

PRK DUN Pelangai adalah PRK yang keempat diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu dan Pulai serta DUN Simpang Jeram.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.