Pencapaian Negeri Tidak Berani Sentuh, Manipulasi Senjata Pembangkang Di Pelangai

BENTONG, 6 Okt – Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal melihat baki sehari tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai masih memperlihatkan tindak-tanduk pembangkang yang sekadar mengelirukan pengundi.

Tegas beliau tempoh berkempen juga memperlihatkan pembangkang tidak berani menyentuh soal pencapaian negeri Pahang sebaliknya hanya bermain persepsi dan fitnah semata-mata.

“Pembangkang tidak berani sentuh soal pencapaian dan prestasi cemerlang Kerajaan Negeri Pahang sebaliknya menyentuh isu-isu lain dengan membentuk persepsi sebab mereka tahu prestasi di bawah kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy cemerlang. Sebab itulah mereka guna cara lain mengelirukan masyarakat.

“Itulah senjata mereka dan itulah strategi yang mereka gunakan sebab Allahyarham Datuk Johari (Datuk Seri Johari Harun) seorang yang komited di DUN Pelangai ini.

“Jadi tidak ada cara lain untuk menidakkan kita dan itulah politik sempit serta politik adu domba yang dibawa ke Pelangai ini untuk kelirukan masyarakat,” katanya kepada UMNO Online.

Fadzli yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang seterusnya menambah kerajaan negeri berada di landasan tepat dan banyak pencapaian besar telah dicipta kebelakangan ini.

“Antaranya kita dah mencapai hasil melebihi RM1 bilion tahun lalu sekaligus meletakkan negeri kita dalam satu kelab negeri RM1 bilion seperti Selangor, Sarawak dan lain-lain.

“Dalam soal pelaburan asing kita rekod RM20.5 bilion bawa masuk ke negeri Pahang dan ini rekod terbaru. Pertumbuhan ekonomi juga tinggi dan begitu juga dalam soal aspek kebajikan dan kepentingan rakyat lain,” ujarnya.

Beliau seterusnya menambah pihak lawan sekadar mahu mengelirukan masyarakat serta menabur fitnah yang bukan-bukan termasuklah dakwaan kehadiran anggota polis yang ramai pada program mereka di Pelangai.

“Pihak berkuasa termasuk polis bukan ikut PN (Perikatan Nasional) sahaja dan mereka pun pantau ceramah-ceramah BN… saya tengok sekadar untuk timbulkan syak wasangka serta kemarahan kepada pasukan keselamatan. Ini bukan cara kita.

“Ceramah politik memang ada risiko tertentu. Begitu juga keadaannya di ceramah-ceramah atau program BN. Polis pun ramai juga dan sama sahaja tetapi kita biasanya berlapang dada dan tidak pernah pertikai sebab kita tahu pihak keselatan menjalankan tugas dan tanggungajwab.

“Jadi janganlah persoal soal itu nampak sangat tidak ada modal sehinggakan polis ramai pun jadi isu. Sepatutnya kita rasa selamat apabila polis ramai. Sebab itu saya cakap kadang-kadang pemikiran sebegini mahu kelirukan masyarakat,” tegasnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.