Adnan Yaakob Kempen Calon BN, Pesan Pengundi Buat Pilihan Terbaik

BENTONG, 6 Okt – Esok seramai 16,456 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan membuat keputusan memilih wakil rakyat mereka setelah berlaku kekosongan ekoran penyandang, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia pada Ogos lalu.

Tempoh berkempen yang bermula pada 23 September lalu akan berakhir tengah malam ini dan parti-parti yang bertanding termasuklah Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calonnya, Datuk Amizar Abu Adam berusaha keras untuk memastikan kemenangan.

Jentera di setiap peringkat termasuklah pimpinan di setiap lapisan memainkan peranan tersendiri dalam usaha meyakinkan pengundi agar membuat pilihan terbaik demi untuk rakyat di Pelangai.

Tidak terkecuali, mantan Menteri Besar Pahang yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Tan Sri Adnan Yaakob turut turun padang berkempen bagi membantu kemenangan calon BN, Datuk Amizar Abu Adam.

Bagi beliau Pilihan Raya Kecil (PRK) ini adalah peluang untuk pengundi di kawasan Pelangai membuat pilihan terbaik dan semestinya calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, calon nombor tiga yang terbaik untuk mewakili masyarakat di Pelangai.

“Sebagaimana biasa saya mengharapkan pengundi akan memikirkan kepentingan kampung, daerah dan negeri untuk memangkah kertas undi. Fikirlah yang terbaik,” katanya ringkas selepas sesi ramah mesra bersama jentera dan masyarakat setempat di PDM Lembah Jaya.

PRK DUN Pelangai diadakan ekoran kematian Johari dalam nahas pesawat ringan yang Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu, 7 Oktober sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.