PRK Pelangai: Kerjasama Erat Kerajaan Negeri, Pusat Jadi Pertimbangan Terbaik Rakyat Pilih BN

BENTONG, 5 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya pengundi pelangai akan menghantar isyarat jelas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan dengan memilih calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam agar Pelangai berada dalam radar perhatian kerajaan negeri serta kerajaan pusat.

Menurut beliau, pertimbangan itu diambil setelah melihat usaha, kerjasama dan perhatian berterusan kedua-dua kerajaan itu yang hari ini diterajui Kerajaan Perpaduan.

“Sementalahan itu mereka melihat sentuhan yang kuat dan cukup berterusan dari Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta mendapat sentuhan dari Putrajaya dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat sentuhan dari Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat kepada rakyat dan pengundi-pengundi di Pelangai bahawa Pelangai ini berada dalam radar dan perhatian Kuantan (kerajaan negeri), radar Putrajaya (kerajaan pusat).

“Saya rasa ini akan menjadi pertimbangan dan insya-Allah dengan ‘Biiznillah’ dan mudah-mudahan menjadi satu elemen pertimbangan para pengundi yang akan dibawa ketika berada di pusat-pusat pengundian nanti dan akhirnya membuat keputusan untuk memberi undi mereka pada calon BN,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam masa yang sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam itu turut berharap kestabilan memainkan peranan cukup penting dalam sesebuah pentadbiran kerajaan negeri mahupun Persekutuan.

“Sentuhan Wan Rosdy cukup kuat dalam pentadbiran negeri Pahang dan saya percaya pengundi Pelangai akan lihat soal ini demi kestabilan kerajaan negeri sekaligus manfaat untuk masyarakat di Pelangai,” ujarnya.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Kassim Samat calon dari Perikatan Nasional (PN), Haslihelmy DM Zulhasli dari Bebas dan Datuk Amizar Abu Adam dari BN.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober sebagai hari pengundian DUN Pelangai. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.