Perubahan Kerajaan Pahang? Wan Rosdy Sekali Lagi Sifatkan Kenyataan Kelirukan Pengundi

BENTONG, 5 Okt –  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kenyataan pimpinan pembangkang bahawa akan berlaku perubahan kerajaan negeri itu jika keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN) sekadar kenyataan yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

Menurut beliau hakikat itu selaras dengan apa yang diperkatakannya sebelum ini bahawa pembangkang sekadar membuat fitnah dan menimbulkan persepsi semata-mata.

“Selepas beliau mengeluarkan kenyataan tersebut saya dapati semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) seramai 15 orang daripada BN telah mengeluarkan kenyataan bersama kerajaan yang ada hari ini dan menyokong kepimpinan saya.

“Ini seringkali saya nyatakan adalah fitnah yang mereka keluarkan untuk mengelirukan  dan menakut-nakutkan rakyat kononnya akan berlaku perubahan kerajaan.

“Ini adalah satu budaya bagi saya yang tidak sihat kerana ianya tidak berlaku…secara spontan dan saya tidak menghubungi mana-mana ADUN untuk membuat kenyataan malah apabila mereka mendengar sahaja ada cerita sumpama ini mereka secara terus dan spontan menafikan perkara tersebut dan masing-masing menyatakan sokongan kepada saya,” katanya.

Terdahulu beliau bersama veteran tentera dan polis pada majlis Sembang Santai di Kampung Bukit Gajah di sini, Rabu petang.

Beliau seterusnya menegaskan perkara berkenaan merupakan satu bukti jelas bahawa  mereka suka memainkan sentimen dan perkara-perkara sensasi untuk menimbulkan kebimbangan kepada rakyat kononnya akan berlaku perubahan kerajaan sekiranya ini berlaku.

“Sedangkan berbanding dengan kita, BN beri tawaran kepada rakyat apa yang kita buat..sepatutnya soal kesejahteraan yang perlu diberitahu kepada rakyat dan bukannya dengan cara mewujudkan sentimen menakut-nakutkan mereka dengan membuat cerita yang bukan-bukan. 

“Mereka merekacipta…apabila rakyat dengar akan rasa bimbang, takut dan ini bagi saya adalah budaya yang tidak sihat,” tegasnya. 

Memetik laporan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata gabungan itu mampu mengambil alih pentadbiran Pahang jika menang dalam PRK Pelangai, menerusi penyertaan daripada ADUN kerajaan.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.