BSN Sedia Buat Kajian Dan Perbincangan Lanjut Untuk Beroperasi Di Pelangai

BENTONG, 5 Okt – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Bank Simpanan Nasional (BSN) akan membuat kajian dan perbincangan lanjut berhubung keperluan membuka cawangan di kawasan Pelangai.

Menurut beliau perkara berkenaan telah sampai ke pengetahuannya beberapa hari lalu dan mengambil tindakan selanjutnya dengan berhubung dengan pihak institusi kewangan itu.

“Dua tiga hari lepas…telah sampai ke pengetahuan saya bahawa Pelangai memerlukan sebuah bank. Maka saya terus menghubungi pihak BSN, ketua pegawai eksekutifnya dan beliau berjanji untuk menghantar satu pasukan bagi membuat penilaian di kawasan Pelangai dengan kadar segera,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata Ahmad Maslan lagi penilaian itu membolehkan pihak BSN membuat perbincangan dan seterusnya membuat keputusan tentang keperluan di kawasan tersebut sama ada BSN boleh beroperasi.

“Kita tahu nak buka bank ini ada kos-kos yang tertentu dan itu sedia maklum, walaupun demikian kerana BSN di bawah Kementerian Kewangan kita berusahalah.

“BSN ini ada yang besar dan ada yang kecil…mungkin boleh dimulakan dengan yang kecil dahulu… di kawasan ini ada tiga kawasan rancangan Felda dan ada kampung tradisi dan sebagainya… sekolah-sekolah yang ada guru dan lain-lain lagi yang tentunya memerlukan kemudahan itu. Saya menyokong hasrat berkenaan walaupun kini boleh guna secara online tetapi bank fizikal masih diperlukan,” tambahnya.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian mengadakan ziarah kasih di Kg Bukit Gajah di sini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.