Tengku Zafrul Yakin Kemampuan Amizar Sekiranya Diberikan Mandat

BENTONG, 4 Okt – Berbaki beberapa hari lagi menjelang hari pengundian Sabtu ini, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai yang memasuki fasa pecutan akhir perlu berlangsung dalam suasana sihat dan tidak menggugat perpaduan masyarakat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin dengan keupayaan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam yang akan meneruskan legasi yang dibina oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

“Saya yakin beliau akan meneruskan legasi yang dibina oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dan oleh itu kita mahukan ‘still continue’ calon BN Datuk Amizar Abu Adam yang boleh meneruskan legasi tersebut.

“Sekiranya pengundi mengundi dengan betul dan beliau mendapat mandat yang diterima, sudah pasti Datuk Amizar akan menjayakan legasi dan bawa kemajuan kepada DUN Pelangai. Kerajaan negeri di sini pun Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan menang kerusi DUN ini tetapi harus lagi berkerja keras dan jangan ambil ringan. Dalam masa sama harap semua pengundi-pengundi BN dan PH (Pakatan Harapan) dapat keluar mengundi dan mengundi calon BN pada hari mengundi nanti pada 7 Oktober dan di sini adalah kerusi tradisi BN,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Dalam masa beliau yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata Kerajaan Perpaduan wajar diberi masa secukupnya untuk membuktikan prestasi sebenarnya dalam mengurus tadbir negara.

“Kerajaan Perpaduan telah menunjukkan prestasi yang cemerlang di mana (hasil) kestabilan yang capai sejak kerajaan ini ditubuhkan. Bagi enam bulan pertama pelaburan daripada pelabur tempatan dan antarabangsa telah mencecah RM132.6 bilion.

“Jumlahnya besar tapi dari segi peluang pekerjaan dalam masa enam bulan ini lebih 53,000 peluang pekerjaan. Separuh pelabur asing dan separuh pelabur tempatan dan mereka melabur di sini adalah (disebabkan) kestabilan politik yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan.

“Di dalam Parlimen, Kerajaan Perpaduan mempunyai dua pertiga kerusi Parlimen dan ternyata Kerajaan Persekutuan beri kredibiliti dan keyakinan pada syarikat-syarikat tempatan dan luar dengan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI),” katanya lagi.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat, Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli dan BN, Datuk Amizar Abu Adam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.