PRK Pelangai: PN Guna Isu 3R Kerana Slogan ‘Bersih dan Stabil’ Sudah Tidak Laku – Lokman Adam

BENTONG, 4 Okt – Perikatan Nasional (PN) menggunakan isu 3R (raja, agama, bangsa) sepanjang tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kerana slogan ‘Bersih dan Stabil’ mereka sudah tidak laku.

Ketua Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata, rakyat sedikit sebanyak sudah mengetahui sikap sebenar mereka yang merasuah pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu.

“Pada PRU ke-15, PN berjaya mendapat 74 kerusi. Mereka mendabik dada mengatakan bahawa mereka menang kerana ‘Bersih dan Stabil’. Memang betul, tetapi mereka sapu bersih. Apabila dah sapu bersih, mereka stabil.

“Dahulu, mereka boleh ‘kelentong’ rakyat. Hari ini rakyat dah tahu perangai sebenar mereka. Rakyat dah tahu apa yang berlaku sepanjang tempoh PRU ke-15. Mereka merasuah pengundi secara besar-besaran.

“Ini berlaku di depan ulama-ulama Pas yang kata mereka mahu menegakkan Islam. Hari ini, orang dah tahu siapa yang merompak dana Jana Wibawa ketika negara berada dalam keadaan darurat,” katanya menerusi potongan video yang dimuat naik ke laman Facebooknya.

Jelasnya, mereka sengaja meletakkan negara pada keadaan darurat ketika pandemik COVID-19 bukanlah dengan niat untuk menyelamatkan ketua mereka.

“Mereka daruratkan negara ini untuk selamatkan rakyat daripada COVID-19 atau Tan Sri Muhyiddin Yassin? Ini semua mereka tidak boleh pertikaikan lagi. Kalau dulu, cerita kononnya mereka bersih ini boleh mereka sampaikan ke akar umbi.

“Hari ini bukan setakat projek Jana Wibawa sudah terbongkar. Isu bagaimana cabutan (judi) daripada lapan boleh meningkat ke 22 kali dan kita lihat apabila Perdana Menteri mengatakan berulang kali mereka dapat duit dana judi, ada tak Muhyiddin saman beliau?

“Sebab mereka memang melakukannya. Dalam masa yang sama, apabila Radzi Jidin buka saja mulut, cuba bertindak biadap terhadap Perdana Menteri, kita lihat satu lagi skandal telah keluar. Duit untuk cetak buku J-Qaf yang bernilai hanya RM15 juta melambung menjadi RM80 juta,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu telah diletakkan dalam perlembagaan oleh UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Itu sebabnya saya nak beritahu bahawa slogan kononnya mereka ‘Bersih dan Stabil’ sudah tidak laku. Sebab itulah hari ini mereka hanya menekankan isu 3R dan mengatakan bahawa orang Melayu dan Islam boleh selamat di bawah pemerintahan mereka.

“Saya nak beritahu UMNO/BN yang meletakkan agama Islam sebagai agama persekutuan, hak istimewa orang Melayu diletakkan dalam perlembagaan, kedudukan Bahasa Melayu dan Raja-Raja Melayu.

“Pada hari ini UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan. Selagi kami bersama, insya-Allah keempat-empat perkara asas ini akan tetap kami jaga. Semua di hadapan saya akan turut memastikan kepimpinan Kerajaan Perpaduan menjaga kepentingan orang Melayu serta Islam,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.