PRK Pelangai: Kerusi Kosong Ketika Ceramah PN, Bukti Mereka Ditolak – Lokman Adam

KUALA LUMPUR, 3 Okt – Penampakan banyak kerusi kosong ketika Himpunan Anak Muda Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menjadi bukti bahawa mereka ditolak oleh rakyat setempat.

Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam berkata, anak muda semakin matang dalam menilai semula sokongan mereka terhadap PN setelah terbukti parti itu memberi sogokan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kalau kita tanya dengan Pas Pusat, mereka akan kata anak muda kurang kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN). Saya tidak nafikan pada PRU ke-15, memang mereka mendapat sokongan padu orang muda.

“Orang muda yang baru mengundi buat pertama kali… yang baru cecah 18 tahun tidak tahu apa-apa. Biasa dapat biasiswa FAMA (ibu bapa), tiba-tiba lebai-lebai ini dengan PN ‘jolok’ sampai RM150, RM300, RM350… memang banyak menggelapkan mata orang muda pada ketika itu.

“Tetapi, kalau kita tengok senario ketika Pilihan Raya Negeri (PRN), sudah nampak ada keseimbangan. Anak-anak muda dulu yang percaya pada Pas dan PPBM ini bersih. Apabila tahu tentang contohnya kes melibatkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman. Acara angkat sumpah ‘Wallahi saya undi Pas’ dapat duit,” katanya menerusi video di laman X (Twitter).

Jelasnya, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebelum ini turut menampakkan perubahan sokongan anak muda yang kini semakin beralih kepada BN dan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Orang muda dah banyak berfikir dan boleh menilai. Jadi, saya tengok prestasi orang muda ini kalau dulu lebih berat kepada PN, sekarang saya boleh kata seimbang. Apa yang berlaku di (DUN) Simpang Jeram dan di (Parlimen) Pulai, nampak gayanya alhamdulilah. Sokongan ada sedikit perubahan dan penambahan.

“Cuma, kalaulah PN mengatakan bahawa ‘kerusi’ DUN Pelangai ini milik mereka kerana anak muda bersama mereka, saya bersetuju. Sebab semalam saya dapat maklumat ketika anak-anak muda PN berhimpun, memang kerusi itu milik mereka sebab banyak kosong.

“Itu tanda-tanda awal bahawa PN ataupun Pas ditolak di DUN Pelangai. Jadi, janganlah buat perangai ‘claim’ kata orang muda dengan kamu. Bukan semua orang muda boleh membiarkan diri mereka terus diperbodohkan oleh Pas/PN,” katanya lagi.

Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Pelangai.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada Sabtu, 7 Okt ini berikutan kematian penyandang Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada 23 Sept lalu, manakala hari ini sebagai hari pengundian awal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.