Ceramah Mega Perpaduan Terjemah Penerimaan, Keyakinan Terhadap Calon BN

BENTONG, 3 Okt – Ceramah Mega Perpaduan yang diadakan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai malam tadi telah menterjemahkan penerimaan, dukungan dan keyakinan rakyat terhadap calon Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau bersama pimpinan Kerajaan Perpaduan dengan jelas menyatakan komitmen dan bersatu hati untuk membawa kesejahteraan serta kemakmuran kepada rakyat.

“Semalam saya bersama YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Ceramah Mega Perpaduan di Pelangai, Pahang.

“Saya bersama-sama pimpinan Kerajaan Perpaduan dengan jelas menyatakan komitmen dan bersatu hati untuk membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada seluruh rakyat selaras dengan matlamat Kerajaan Perpaduan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tambahnya, beliau berharap agar warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan memberikan undi kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam pada hari pengundian kelak.

“Saya juga yakin, kehadiran dan sambutan luar biasa oleh warga DUN Pelangai semalam menterjemahkan penerimaan, dukungan dan keyakinan mereka terhadap calon dan kerajaan ini.

“Insya-Allah, saya amat berharap warga DUN Pelangai untuk memberikan undi kepada calon Barisan Nasional pada pada 7 Oktober nanti,” katanya.

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada Sabtu, 7 Okt ini berikutan kematian penyandang Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada 23 Sept lalu, manakala hari ini sebagai hari pengundian awal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.