Ahmad Zahid Percaya Amizar Mampu Jadi Wakil Rakyat Pelangai

BENTONG, 3 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid  Hamidi percaya calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat jika masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai memberikan kepercayaan pada Sabtu ini.

Jelas beliau dengan kepercayaan itu yang diberikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, kawasan berkenaan diharap dapat dimajukan sebagai kawasan luar bandar yang boleh berdikari dari segi industri serta pekerjaan.

“Kita mahu Pelangai dimajukan sebagai kawasan luar bandar yang boleh berdikari dari segi industri dan dari segi pekerjaaan.

“Itu sebabnya dua hari sudah saya tawarkan 50,000 tempat untuk anak-anak dari Felda generasi kedua, ketiga, keempat dan insya-Allah kelima 50,0000 tempat untuk masuk TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) agar anak-anak felda mendapat peluang pekerjaan di dalam Felda dan luar Felda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani, di Simpang Pelangai, di sini Isnin malam.

Ceramah berkenaan turut menampilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu, pimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) yang lain.

Kata  Ahmad Zahid lagi kursus-kursus TVET akan memberi ruang sebaiknya kepada pelajar yang mengikuti kursus yang dianjurkan.

“Kursus TVET bukan sekadar gunting rambut..gubah bunga…tetapi kita mahu insya-Allah pelajar ini dapat kursus TVET yang terbaik untuk bekerja dalam dalam bidang pembuatan kereta serta telekomunikasi selain untuk bekerja dalam teknokogi baru.

“Langkah ini supaya gaya hidup di kawasan Felda dan kawasan tradisional dan kawasan-kawasan lain khususnya di Pelangai insya-Allah dapat dimajukan. Yang boleh membawa pembangunan dan pembaharuan ini adalah Datuk Amizar Abu Adam,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.