Pilih BN, Parti Progresif Bina Masa Hadapan Untuk Rakyat Dan Negara – Johari

BENTONG, 2 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menasihati jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) terus mendekati pengundi-pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bagi meyakinkan mereka terhadap gabungan yang dibentuk.

Ini kerana katanya, gabungan BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan adalah sebuah gabungan yang progresif dan dinamik.

“Kerajaan Perpaduan adalah gabungan parti seperti PKR, Dap, Amanah dan sebagainya serta jangan mengambil mudah untuk terus berusaha berjumpa pengundi-pengundi serta mengingatkan bahawa antara BN dan PH adalah satu pasukan untuk menjaga kerajaan pada masa akan datang. Walaupun dahulu berbeza pandangan tapi kini sama-sama membina negara.

“BN adalah satu parti yang sangat progresif dan tidak undur ke belakang. Kalau ada masalah kita akan selesaikan masalah bersama-sama dan ‘move on’ ke hadapan. Kita tidak mahu ada parti-parti lain yang mentadbir negeri.

“Kerajaan Perpaduan mengutamakan kestabilan politik dan kita bersama-sama menjaga rakyat pelbagai bangsa bangsa. Ini negara kita dan mesti tadbir serta beri kepercayaan kepada parti politik yang boleh menjiwai nilai-nilai untuk menyatupadukan masyarakat yang berbilang-bilang kaum,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

Beliau berkata demikian semalam ketika berkunjung ke bilik gerakan MCA Telemong, di sini.

Turut hadir Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng; Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar serta pimpinan MCA cawangan Telemong.

Dalam masa yang sama, Johari yang juga Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa membandingkan bagaimana sepanjang Pas mentadbir di Kelantan namun tidak dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu rakyatnya.

“Sepanjang kerajaan Pas mentadbir negeri itu selama 33 tahun tapi masih lagi berdepan masalah air. 

“Sekiranya hingga habis penggal mentadbir tidak boleh selesaikan masalah, BN akan bersedia berdepan masyarakat sama ada di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan tunjukkan bukti bahawa Pahang ini adalah negeri contoh yang boleh membela nasib rakyat ke arah lebih baik,” jelas beliau.

PRK Pelangai ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat, bebas Haslihelmy dan BN Datuk Amizar Abu Adam.

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.