Pahang Makmur Di Bawah Wan Rosdy, Jangan Terpedaya ‘Auta’ Pembangkang

BENTONG, 2 Okt – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata pembangkang sebenarnya tidak berani menyentuh mengenai kredibiliti serta kemampuan kerajaan negeri Pahang dalam mengurus tadbir negeri itu.

Ini kerana katanya di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Barisan Nasional (BN) dan rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan berjaya menstabilkan dan seterusnya memakmurkan negeri Pahang.

Disebabkan itu katanya, pembangkang hanya mampu memainkan isu yang tidak relevan serta membuat cerita-cerita bohong dan fitnah.

“Pihak pembangkang begitu yakin bahawa Pelangai akan jatuh ke tangan parti tersebut. Kononnya apabila menang akan tukar Menteri Besar baharu…sebenarnya ini tidak akan berlaku dan diuar-uarkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN akan melompat parti.

“Buat apa nak tukar Menteri Besar, buat apa kita nak letak orang (wakil rakyat pembangkang) yang terbukti di kawasannya sendiri tidak tahu nak jaga. Kita ini mewujudkan kerajaan yang stabil untuk kemakmuran negeri Pahang.

“Jangan terpedaya dengan fitnah yang dibuat oleh pembangkang ini. Tak ada seorang pun ADUN daripada Pahang yang akan melompat. Kita tahu auta pembangkang, sememangnya mereka selalu buat ‘bidaah’,” katanya.

Beliau berkata demikian di bilik gerakan Felda Dataran Kemasul, baru-baru ini.

Turut hadir Setiausaha Agung BN yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua UMNO Bahagian Sik Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim, Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Rosni Zahari dan Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran menjelaskan sepanjang Wan Rosdy mentadbir, Pahang menjadi salah satu negeri terbaik dalam negara ini.

“Pahang ini adalah salah satu negeri yang terbaik dan di bawah kepimpinan yang ada hari ini menduduki nombor tiga yang termaju dalam negara selepas Pulau Pinang dan Selangor,” katanya.

Pada masa yang sama Shahaniza menyeru rakyat Pelangai jangan terpedaya sentimen yang dimainkan oleh pihak pembangkang.

“Saya menyeru semua jangan makan dengan politik sentimen yang dibawa oleh pihak pembangkang tetapi lihat pada prestasi kerajaan negeri Pahang yang ternyata mempunyai prestasi yang terbaik. Kita tolak parti sentimen dan sokong BN yang telah menunjukkan prestasi yang terbaik.

“Saya tidak nampak di kawasan ini mahu tukar calon sebab calon ini ada kredibiliti. Kita tidak perlu percaya cerita yang bukan-bukan yang dimomokkan oleh pembangkang,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.