Macam-Macam Cerita Datang Ke Pelangai… Namun Nilailah Yang Ada Fakta – Calon BN

BENTONG, 2 Okt – Pelbagai cerita boleh datang ke Pelangai ini, namun apa yang kita harapkan pengundi menilai cerita yang dibawa itu fakta atau sebaliknya, kata calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.

Menurutnya kempen beliau yang memasuki fasa kedua minggu ini terus menekankan kepada cerita yang sebenar khususnya apa yang ingin dibawa dan akan dilaksanakan termasuklah menyambung legasi yang telah dirancang wakil rakyat sebelum ini.

“Sebab itu saya menyeru kepada pengundi tekadkan dalam hati…tidak perlu layan lagi segala fitnah dan persepsi yang dibuat. Pelbagai cerita boleh datang ke sini termasuklah cerita-cerita dongeng tetapi kita mahukan cerita fakta bahawa kerajaan negeri telah melaksanakan inisiatif dan pelbagai program kebajikan dan keprihatinan kerajaan negeri maka pilih kerajaan yang selari dengan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan ‘walkabout’ sekitar Kampung Semerting, di sini pagi tadi.

Beliau seterusnya menambah masyarakat terutama pengundi perlu menilai secara holistik dan tidak mudah mendengar kata-kata berdasarkan andaian semata-mata.

“Sebab itu saya harapkan pengundi bahawa kita menilai sesuatu perkara secara holistik… jika mendengar kata-kata orang berdasarkan andaian semata-mata tanpa melihat serta menilai sesuatu perkara itu menjadi satu kesilapan kepada kita.

“Jadi saya menyeru kepada pengundi sekali lagi lihatlah kepada prestasi… buktinya telah kita kita laksanakan pelbagai perkara. Hari ini kita meneruskan legasi perjuangan wakil rakyat sebelum ini dan kita nak memastikan antaranya Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang telah diusahakan insya-Allah. Maklumlah kita lalu-lalang di sini dan kita nak pastikan infrastruktur yang lebih baik.

“Apa pun menjelang baki beberapa hari sahaja lagi tempoh berkempen, masyarakat di sini kena lihat dan pastikan juga mencari asas yang betul dan jangan mencari persepsi yang terlalu banyak,” katanya.

Ujarnya lagi, kerajaan negeri negeri telah dan sedang melakukan yang terbaik buat rakyat.

“Cerita boleh buat tetapi lihat apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri. pelbagai…ya betul kita tidak boleh selesaikan 100 peratus namun kita berusaha untuk mencapai yang terbaik dalam kalangan 100 peratus itu.

“Kepada  pengundi di DUN Pelangai ini sama ada orang muda…tak berapa muda dan sebagainya lagi harap mengundi BN supaya kita seiring dengan kerajaan negeri… seiring dengan kerajaan pusat,” tambahnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.