Pilih Calon Yang Dekat Dengan Kerajaan Negeri Dan Pusat – Khaled

BENTONG, 1 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap masyarakat khususnya pengundi di kawasan Pelangai tidak memilih calon yang jauh daripada kerajaan di peringkat negeri dan juga peringkat pusat hari ini.

Jelas beliau Sabtu depan yang merupakan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai adalah tarikh yang penting buat pengundi di kawasan tersebut.

“Kita percaya pengundi akan bijak menentu dan memilih siapa yang sewajarnya jadi wakil rakyat mereka. Sepertimana kita sedia maklum ini adalah PRK yang mana hendak menentukan wakil rakyat baharu ekoran ada kekosongan dan bukannya pilihan raya umum.

“Untuk PRK ianya bukan isu untuk membentuk kerajaan tetapi untuk memilih wakil yang mana boleh jadi jambatan daripada penduduk kepada pihak kerajaan. Sewajarnya  penduduk bijak memilih wakil rakyat yang benar-benar berkesan yang mempunyai hubungan samaada di peringkat pusat mahu pun negeri,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan ziarah kasih dan kunjungan bersama masyarakat di Kampung Semerting.

Khaled seterusnya menambah Pelangai kedudukannya jauh daripada Kuantan dan Kuala Lumpur.

“Jadi dalam keadaan sedemikian saya percaya kalau jarak pun dah jauh janganlah pula wakil rakyatnya pun yang jauh daripada kerajaan. Jadi pilih yang ada hubungan dengan kerajaan.

“Ini kerana dalam keadaan-keadaan yang mencabar pada hari ini banyak usaha-usaha yang akan diperkenalkan oleh kerajaan  bagi mengatasi masalah kehidupan masyarakat.

“Sudah tentulah kalau kita memilih wakil rakyat yang ada hubungan dengan kerajaan maka dasar-dasar dan program boleh sampai kepada rakyat,” ujarnya.

Ujar beliau lagi memilih wakil rakyat daripada parti yang bukan sealiran dengan kerajaan negeri mahu pun peringkat pusat langkah yang merugikan.

“Satu lagi yang harus kita faham ialah apa pun yang diperkatakan oleh pembangkang mereka tidak mungkin dan mereka tidak boleh tunaikan sebab mereka bukan kerajaan. Jadi janji mereka tidak boleh dipakai sebab mereka tidak boleh laksana.

“Jadi atas sebab itulah saya percaya masyarakat dan pengundi di dalam kawasan ini bijak memilih wakil rakyat yang benar-benar berkesan  yang boleh mewakili mereka dan bantu mereka dalam berdepan dengan segala masalah dan cabaran,” tambahnya.

PRK DUN Pelangai diadakan ekoran kematian Datuk Johari Harun dalam nahas pesawat ringan yang di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Okt sebagai hari pengundian bagi memilih wakil rakyat baru kawasan itu.

PRK ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, PN dan Bebas.

Pada pilihan raya umum lalu Allahyarham Johari memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.