Rakyat Pelangai Rugi Sekiranya Tidak Memilih Amizar – Sharkar

BENTONG, 30 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin berkata calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam adalah pilihan yang tepat mewakili Pelangai sekiranya diberikan mandat pada 7 Oktober nanti.

Ini kerana katanya, beliau adalah anak jati Pelangai dan ramai yang mengenalinya dan amat rugi sekiranya tidak memberi mandat padanya.

“Sekarang ini calon BN Datuk Amizar Abu Adam, anak Felda Chemomoi, beliau kenal orang sini, pemimpin belia. Kalau sekiranya pada kali ini orang Pelangai tidak mengundi BN maknanya marah dan marahkan nyamuk kelambu dibakar.

“Sekiranya Perikatan Nasional (PN) menang pun, BN dan PH (Pakatan Harapan) tetap menjadi Kerajaan Perpaduan dalam negeri Pahang. Kita ada 29 kerusi dan masa bila pembangkang hendak jadi kerajaan dan yang rugi orang Pelangai sekiranya mengundi pembangkang.

“Di PRK Johor bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Kerajaan Perpaduan menang dan mahu pastikan juga di Pelangai ini menang,” beliau berkata demikian di bilik gerakan Kampung Semerting, malam tadi.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena Noran Zamini Jamaluddin dan pengundi-pengundi DUN Pelangai.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang menjelaskan bahawa Allahyarham Datuk Seri Johari Harun telah memberikan perkara-perkara yang memberi manfaat DUN Pelangai ini.

“Banyak perkara yang telah dimasukkan, dijanjikan dan dinyatakan oleh Allahyarham Datuk Seri Johari Harun. Difahamkan masa hari terakhir mesyuarat exco negeri Pahang, macam-macam senarai yang dikeluarkan oleh beliau.

“Perkara-perkara tersebut wajar sebenarnya (dijadikan) sebagai wasiat. Wajar untuk dilaksanakan tapi sekiranya wakil rakyat bukan dari BN bagaimana hendak laksanakan,” katanya lagi.

Bagi PRK berkenaan, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula 23 Sept lalu selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 6 Oktober nanti.

Daftar pemilih yang akan digunakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 bagi DUN Pelangai mempunyai 16,456 pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari Sabtu 7 Oktober hari mengundi di Pelangai sementara 3 Oktober sebagai hari undi awal. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.