BN Harap Pengundi Berikan Keputusan Tepat – Ahmad Zahid

BENTONG, 30 Sept – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan pengundi-pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dapat berikan satu keputusan yang tepat seperti PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram baru-baru ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Pelangai bakal mengulangi kejayaan yang tepat dengan memilih wakil rakyat bagi menyambung legasi yang selari dengan kerajaan negeri dan pusat.

“Saya harap rakyat di Pelangai ini bijak sebagaimana pengundi-pengundi di Pulai dan Simpang Jeram yang telah membuat keputusan yang tepat dengan memilih seorang wakil rakyat yang boleh memberikan kesinambungan perkhidmatan.

“… dan juga mengharapkan calon yang tidak dapat memberikan perkhidmatan yang selari dengan kerajaan di Kuantan juga kerajaan di Putrajaya.

“Kami mempunyai keyakinan untuk mempertahankan DUN Pelangai ini tapi harus berusaha kerana tahu bahawa pihak seteru politik akan mencuba sedaya upaya untuk menafikan kepungan rakyat Pelangai seperti pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Karnival Kerjaya My Future Jobs Bersama HAWA Malaysia, Felda Chemomoi, di sini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Kata Presiden UMNO lagi, beliau yakin dengan kepimpinan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mampu memberikan kejayaan pada PRK DUN Pelangai sepertimana kejayaan di Tioman.

“Saya yakin dengan kepimpinan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi BN Negeri dan melantik beliau sebagai Pengarah PRK DUN Pelangai dan yakin kemampuan beliau sebagaimana kejayaan yang diperoleh pada PRK di Tioman walaupun dalam keadaan serba kepayahan dan dapat mempertahankan dan mengambil DUN Tioman.

“Saya yakin di Pelangai ini, insya-Allah dapat mempertahankannya kerana yakin pengundi di Pelangai amat dekat dengan BN dan mereka mahukan supaya perkhidmatan yang terbaik dapat diteruskan oleh seorang ADUN yang sama dengan kerajaan negeri dan pusat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.