PRK Pelangai: Amizar Disenangi Pelbagai Peringkat, Tekad Pilih BN

BENTONG, 29 Sept – Pemilihan calon untuk mana-mana parti bagi pilihan raya baik Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK) mengambil kira beberapa faktor antara lain sokongan masyarakat setempat khususnya kalangan pengundi.

Namun pada masa yang sama sokongan jentera parti juga turut memainkan peranan utama dalam usaha menggerakkan kempen sepanjang tempoh menjelangnya hari pengundian.

Itulah yang dapat dilihat pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai apabila calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam mendapat kepercayaan jentera setempat.

Masing-masing dilihat bertungkus-lumus menggerakkan kempen dengan pelbagai cara dan pelbagai kaedah untuk meyakinkan pengundi agar memilih  Amizar pada 7 Okt nanti.

Salah seorang jentera parti, Mohamad Azril Norbadrun ketika ditemui pada sesi santai orang muda di Warung Mok Burger melihat calon BN itu mempunyai karaktor yang tersendiri dan amat sesuai sebagai wakil rakyat di Pelangai.

“Kalau ikut sayalah… anak kampung mestilah mahukan calon tempatan… jadi dah dapat anak tempatan ini saya rasa memang semua akan memberikan sokongan, insya-Allah,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Pemangku Ketua Pemuda UMNO Cawangan Simpang Pelangai seterusnya menambah, Amizar yang dipilih oleh parti amat bertepatan dengan suasana kampung di Pelangai.

“Tengok cara dia bekerja sebelum ini saya berkeyakinan beliau mampu menggalas amanah jika diberikan oleh pengundi nanti. Saya sebagai penggerak parti amat mengalu-alukan,” ujarnya.

Sementara itu Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kampung Semerting, Ahmad Sabri Mohd Alimin berpandangan calon yang dinamakan parti untuk PRK DUN Pelangai amat bertepatan dalam usaha mencari pengganti kepada wakil rakyat sebelum ini.

“Pada saya beliau mampu meneruskan segala apa yang telah dirancang oleh Allahyarham Datuk Seri Johari sebelum ini.

“Seorang yang berkaliber… ada bakat dalam kepimpinan dan mempunyai wawasan untuk meneruskan legasi Arwah Datuk Seri Johari.

“Kalau kita tengok daripada dia bergaul dengan masyarakat, saya yakin Datuk Amizar boleh jadi wakil untuk DUN Pelangai, insya-Allah,” tambahnya.

Tambah beliau lagi cara pergaulannya dengan pelbagai kumpulan umur membolehkan masyarakat di Pelangai tidak kekok untuk berurusan apatah lagi sebagai jambatan kepada kerajaan hari ini jika beliau diberikan peluang 7 Okt depan.

“Dengan orang muda orang tua beliau sangat sesuai… pergaulan semua peringkat umur beliau boleh masuk dan cukup mesra. Jadi keputusan parti meletakkan beliau sebagai calon amat bertepatan,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.