PRK: Kempen PN Mainkan Isu lama, Penuh Sentimen Tohmah – Dr Asyraf


BENTONG 29 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pelik dengan tindakan pihak lawan yang masih memainkan isu lama termasuklah kononnya UMNO menolak perpaduan susulan penubuhan kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum (PRU yang lalu.

Bagi beliau yang turut turun berkempen di Pelangai, tindakan berkenaan hanya sekadar fitnah serta memainkan sentimen tohmahan kerana itu sahaja kekuatan yang ada pada mereka sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai 7 Oktober nanti.

“Ini hanya sekadar sentimen fitnah dan juga sentimen tohmah. Ini sahaja kekuatan yang ada pada PN. Ceramah mereka tidak memberikan sesuatu perencanaan atau perancangan bagaimana kita nak naikkan ekonomi balik, bagaimana kita nak mentadbir dengan lebih baik.

“Sepatutnya itu yang ditawarkan kepada rakyat tetapi hari ini setakat saya ikuti ceramah-ceramah mereka tidak ada lagi perkara-perkara itu. Yang ada UMNO, Dap… UMNO, Dap… seolah-oleh kerajaan ini hanya UMNO-Dap.

“Sedangkan 19 parti politik lain tidak disebut. Sebab apa mereka mahu mainkan sentimen kononnya UMNO ikut telunjuk Dap… kononnya Malaysia akan menjadi negara sekular,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, semalam.

Dr Asyraf seterusnya menegaskan Malaysia sama sekali tidak akan menuju ke arah sebuah negara sekular.

“Saya sebutkan dalam ucapan-ucapan saya takkan mungkin Malaysia akan menuju ke arah negara sekular. Pertama Perlembagaan kita tidak memungkinkan sedemikian. Nak pinda Perlembagaan saya sudah sebut banyak kali mesti ada dua syarat penting.

“Pertama majoriti dua pertiga, 148 di Parlimen, keduanya mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. Yang di-Pertuan Agong mesti perkenan, Raja-Raja Melayu ada sembilan Sultan mesti perkenan. Dua benteng yang akan menjaga kedudukan Islam perkara 153 dan juga kedudukan orang Melayu.

“Jadi mana mungkin kita menuju negara sekular. Dap pun tidak cukup kerusi hanya ada 40 dan itulah maksimum. Kalaulah UMNO ikut telunjuk mereka sekalipun dicampur dengan mereka baru ada 70. Mahu  cari di mana 148 dan kalau pun cukup 148 apakah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu akan perkenan atau tidak.”

Justeru beliau yakin bahawa hal terbabit tidak akan berlaku.

“Saya pasti dan saya yakin itulah benteng terakhir orang Melayu, Raja-Raja Melayu yang tidak sesekali akan menggadaikan perjuangan Islam dan Melayu yang menjadi teras kekuatan negara bangsa,” ujarnya.

PRK DUN Pelangai diadakan selepas penyandang kerusi itu diisytiharkan kosong susulan penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, bulan lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon PN Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri (calon PH – 2,031 undi) dan Isa Ahmad (calon PEJUANG – 65 undi).- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.