PRK: Jangan Salah Undi… Pilihlah Yang Terbukti Ada ‘Track Recod’ Pentadbiran – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua pihak khususnya pengundi-pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai bagi membuat penilaian dan pilihan tepat berdasarkan kedudukan serta ‘track record’ membabitkan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) terbabit.

Katanya, antara Barisan Nasional (BN) yang bersama Kerajaan Perpaduan dan Pas yang membawa Perikatan Nasional (PN), maka lihatlah keseluruhan bagaimana keberhasilan sepanjang pentadbiran mereka.

“Kempen PRK Pelangai sudah berlangsung seminggu. Ada berbaki seminggu lagi untuk penduduk khususnya para pengundi DUN Pelangai bagi membuat pilihan.

“Parti terbabit kedua-duanya telah pernah menjadi teraju kerajaan namun apakah sumbangannya. BN yang hari ini menjadi pentadbir Kerajaan Negeri Pahang dan bersama dalam Kerajaan Perpaduan di Persekutuan tetap teguh memperjuangkan kestabilan dan kemakmuran dengan apa-apa perkara adalah menjurus kepada kepentingan keseluruhan rakyat dan masa hadapan negara.

“Malah pelbagai hasil dalam negara termasuklah di DUN Pelangai pun, terhasil daripada sumbangan keupayaan pentadbiran BN. Juga hari ini, sepanjang kempen dilaksana jentera BN termasuk calonnya lebih tertumpu kepada usaha yang memberi kepentingan kepada rakyat termasuklah kemajuan dan pembangunan. Malah calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menekankan 3P iaitu Penempatan, Pekerjaan dan Pendapatan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Ujar Tengku Adnan, ini berbeza dengan kempen parti lawan yang terus-terusan berasaskan politik kebencian, politik fitnah, adu domba, manipulasi dan memburuk-burukkan UMNO/BN.

“Isu lama masih digunakan mereka termasuklah sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai Dap sedangkan dalam gabungan tersebut ada 19 part-parti terlibat dan Dap hanyalah salah satu daripadanya.

“Kerajaan Perpaduan yang mengemudi negara hari ini sejak 10 bulan lalu telah menoktahkan krisis politik dan rakyat secara beransur-ansur mula kembali sejahtera. Begitu Juga Kerajaan Pahang yang diterajui BN dapat mengurus negeri terbabit dengan baik, ada pelaburan dan kewangan negeri yang tersusun. Malangnya semua ini tidak dilihat oleh PN lantaran mereka lebih gemar berpolitik daripada bekerja.

“Kesan lebih besar adalah pentingnya pentadbiran DUN selari dengan pengurusan Kerajaan Negeri yang ada di bawah BN dengan Kerajaan Pusat agar pelbagai perancangan pembangunan dapat dilaksana secara terus dan lancar.”

Dalam hal ini katanya, ambillah contoh Parlimen Putrajaya yang semakin terpinggir lantaran wakil rakyatnya tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan.

“Maka kerana itulah wakil rakyat Putrajaya sentiasa banyak alasan sedangkan amanah kepada rakyat melangkau pelbagai perkara. Semasa bertanding, pelbagai janji dibuat namun apabila dah menang lain jadinya dan rakyat yang menjadi mangsa atas alasan bukan kerajaan pusat, bukan menteri dan sebagainya.

“Kerana itu, pilihlah yang benar-benar mampu menunaikan amanah, dapat menjamin pembangunan dan kemajuan serta menolak perbuatan fitnah, manipulasi dan memburuk-burukkan orang lain,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.