Anak Muda Bijak Hindari Politik Benci Membenci – Nurul Amal

BENTONG, 29 Sept – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata rakyat khususnya golongan muda mahu melihat amalan politik yang sihat berteraskan kasih sayang tanpa ada politik membenci.

Menurut beliau, mereka mahu melihat politik sederhana yang tidak ekstrem serta tidak melabel dan menjatuhkan hukum terhadap pihak lain.

“Semestinya pengundi-pengundi muda ini bijak, pandai dan sentiasa memikirkan kesan sekiranya membawa politik benci membenci. Politik yang tidak menjual agama ataupun politik yang memberikan satu manfaat dan kebajikan kepada semua rakyat Malaysia dan juga orang Pahang.

“Apakah kita sebagai rakyat boleh hidup dalam keadaan yang hanya memainkan sentimen semata-mata terutamanya sentimen agama? Sekiranya berbicara tentang Islam begitu mudahnya iaitu ‘undi terus masuk syurga’. Sebagai orang Islam apabila ungkapan seperti dilontarkan oleh pemimpin Islam maka di mana akidah kita?

“Bagi yang pertama kali mengundi sudah pasti akan tercari-cari parti yang terbaik bagi dirinya untuk memberikan undi dan ada sedikit sentimen, walaupun sudah melalui berbagai pilihan raya tapi kali ini sudah tiba masanya anak muda memikirkan masa depan dan negara,” katanya.

Pada masa yang sama Nurul Amal berharap anak-anak muda dapat memberikan kemenangan besar pada pilihan raya ini demi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa cakna pada penduduk Pelangai.

“Kita lihat Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail begitu komited memikirkan semua aspek tidak mengira kaum, bangsa ataupun apa sahaja yang memberikan kebaikan. Beliau juga mengharapkan kemenangan untuk DUN Pelangai ini. Maka masyarakat Pelangai harus memikirkan masa depan yang akan hadapi bagi tahun-tahun mendatang.

“Rakyat Pelangai perlu memilih calon daripada BN iaitu Datuk Amizar Abu Adam yang akan menyambung legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun bagi memastikan apa yang dihasrat oleh penduduk Pelangai tercapai,” katanya lagi.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 7,639 daripada keseluruhan 16,456 pengundi di DUN Pelangai ialah mereka yang berusia 18 hingga 39 tahun.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Amizar, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.

Ia diadakan susulan kemayian penyadangnya Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada bulan lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.