‘3P Dan 3K’ Jadi Azam Calon BN Di Pelangai

BENTONG, 29 Sept – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam sekali lagi menegaskan ‘3P dan 3K’ yang merupakan antara azam beliau di Pelangai mampu memberi manfaat kepada golongan belia dan sebagainya.

Jelas beliau ‘3P’ iaitu pendapatan, perumahan dan penempatan saling berkaitan antara satu sama lain dan pada masa yang sama  ‘3K’ turut memainkan peranan tersendiri iaitu kebersamaan, kejayaan dan keberkatan.

“Saya masih menekankan soal 3P iaitu perumahan, perkerjaan dan penempatan untuk golongan muda. Keperluan tersebut memang telah dibincangkan dan insya-Allah sekiranya diberikan mandat saya akan mencari fakta-faktanya terutama dalam keperluan tersebut.

“Saya lihat ada keperluan untuk kita beri nilai tambah pada pekerjaan sedia ada di sini termasuklah soal pertanian yang utama di sini iaitu kelapa sawit selain industri agro-pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke bilik gerakan MCA dan MIC, Sungai Gapoi, Telemong.

Amizar yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Bentong seterusnya menambah penerimaan kaum Cina dan India sepanjang berkempen pada PRK ini cukup positif.

“Penerimaan kaum India dan Cina di Sungai Gapoi sungguh baik dan mereka semua sangat teruja… terus menyokong 100 peratus pada BN.

“Di kawasan ini sangat menarik kerana dalam PRK kali ini kawasan ini merupakan majoriti kaum India di Sungai Gapoi,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Amizar mengharapkan jentera BN perlu bersedia bila-bila masa sekiranya berlaku serangan yang akan dilakukan oleh pembangkang.

“Kita tidak tahu apa serangan-serangan yang berlaku dan harus bersiap siaga 24 jam, strategi masing-masing,” ujarnya.

PRK Pelangai pada 7 Okt ini menyaksikan pertarungan tiga penjuru antara Amizar, Kasim Samat daripada Perikatan Nasional dan seorang calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Ia diadakan susulan kematian penyadangnya Allahyarham Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada bulan lalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.